|


BA jamin teruskan dasar ekonomi

KUALA LUMPUR: Pakatan parti Barisan Alternatif (BA) memberi jaminan akan meneruskan dasar ekonomi serta perniagaan sedia ada di Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Kedah yang diperintah pakatan itu.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata selain itu pakatan antara Pas, PKR dan DAP juga akan meneruskan usaha memacu pertumbuhan ekonomi, dasar pasaran bebas serta menarik pelabur asing di empat negeri berkenaan.

“Keutamaan kita adalah memberi keyakinan kepada pelabur tempatan dan asing terutama yang sudah ada di negeri terbabit supaya mereka yakin dan menerima proses transisi ini dengan baik.

“Kita tetap akan menghormati perjanjian perniagaan yang dibuat kerajaan negeri sebelum ini jika ia terbukti telus dan hanya akan menyemak semula projek kerajaan di negeri terbabit jika wujud keraguan atau tidak diberikan secara telus. Kita akan beri keutamaan kepada mereka yang benar-benar layak serta menghentikan proses pemberian projek tanpa tender,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di sini, semalam. Hadir sama, Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali dan Ketua Penerangan PKR, Tian Chua.

Anwar berkata, beliau juga akan mengadakan perbincangan dengan pimpinan PKR, PAS dan DAP untuk memastikan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri akan terjalin untuk memastikan pembangunan negeri tidak terbantut

“Kita juga bercadang memindahkan serta mengasingkan kepentingan Kerajaan Persekutuan dalam perniagaan kerana kerajaan negeri akan memastikan urusan dan campur tangan Kerajaan Persekutuan dalam perniagaan dikurangkan mengikut proses yang ditentukan kepimpinan negeri,” katanya.

Sementara itu, beliau menafikan khabar angin beliau ke Sarawak kelmarin untuk memancing atau membeli calon yang memenangi pilihan raya untuk menyertai pakatan itu.

“Saya tidak berada di Sarawak, sebaliknya di rumah menghadiri sesi temubual bersama media. Kita tidak akan menawarkan sesiapa pun menyertai kami dengan tawaran jutaan ringgit atau pemberian tanah,” katanya.

Artikel lain: