GEORGETOWN: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, menyerahkan kepada pengundi di Permatang Pauh untuk menentukan sama ada beliau meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen atau tidak.
"Itu terpulang kepada pengundi sebab saya menjadi wakil mereka dan sekarang saya masih mendengar cakap (pandangan) mereka," katanya sambil menambah meletak jawatan hanya satu pilihan.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah dan pelantikan Ketua Menteri Pulau Pinang yang baru, Lim Guan Eng di kediaman rasmi Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas di Seri Mutiara di sini, semalam.
Wan Azizah diminta mengulas mengenai kenyataannya sebelum ini yang membayangkan kesediaannya meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh bagi memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bertanding di Parlimen itu dalam pilihan raya kecil.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, Sabtu lalu, Wan Azizah menang selepas menewaskan pencabarnya, Datuk Pirdaus Ismail, dengan majoriti 13,388 undi.
Diminta mengulas mengenai kenyataan SPR bahawa Ahli Parlimen yang meletak jawatan tidak dibenarkan bertanding semula untuk tempoh lima tahun, Wan Azizah berkata, ia tidak menjadi masalah baginya.
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, dilaporkan berkata Ahli Dewan Rakyat yang meletak jawatan tidak dibenarkan bertanding dalam tempoh lima tahun dari tarikh peletakan jawatan itu, seperti termaktub dalam Artikel 48(6) Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, Wan Azizah turut memuji bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berikutan peralihan kuasa kepada kepimpinan baru yang diketuai DAP, berjalan lancar.