SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) Selangor meminta rakyat di negeri itu tidak bimbang kerana parti itu akan membantu mereka memastikan kerajaan baru pakatan pembangkang yang akan dibentuk, memenuhi janji manifesto pilihan raya umum baru-baru ini.
Pengerusinya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, berkata antara lain BN mahu pakatan itu menunaikan janji mengurangkan cukai pintu kediaman sebaik kerajaan baru ditubuhkan.
Katanya, BN mahu pelbagai janji pembangkang dilaksanakan, termasuk memberi bekalan air kegunaan domestik percuma bagi 20 meter padu pertama setiap bulan.
“Kita gembira dapat membantu rakyat sebagai pembangkang di DUN. Kita dah bekalkan manifesto pembangkang kepada ahli Umno dan akan memastikan setiap janji manifesto dilaksanakan dan rakyat mendapat pembelaan sewajarnya.
“Mereka berjanji pesakit berusia lebih 65 tahun mendapat rawatan percuma dan kita akan daftarkan pesakit berusia 65 tahun. Bagi setiap anak sekolah yang dijanjikan akan mendapat RM75 sebulan, kita juga akan tolong penduduk daftarkan semua anak ke tadika,” katanya pada sidang media pertama sejak Pilihan Raya Umum Sabtu lalu, di Bangunan Umno Selangor, di sini, malam tadi.
Bekas Menteri Besar berkenaan sebelum itu mempengerusikan mesyuarat bersama 18 Adun Umno yang memenangi pilihan raya kali ini.
Dr Mohamad Khir berharap mereka yang diberikan mandat oleh rakyat untuk membentuk kerajaan dapat menjaganya sebaik-baiknya kerana Selangor adalah negeri yang baik dan cantik.
Beliau berharap kerajaan baru akan memastikan rakyat Selangor menikmati hidup lebih berkualiti dan Umno berjanji tidak akan mengizinkan mana-mana pihak cuba merosakkan Selangor yang sudah dibina BN dengan baik.
“Kita akan beri kerjasama selagi projek itu menguntungkan rakyat dan ketelusan diamalkan. Jika projek ini tidak mengambil kira sensitiviti kaum, kita akan mengambil tindakan.
“Walaupun dari segi komposisi Exco nampaknya jumlah orang Melayu kurang, kita harap mereka akan dapat membela nasib orang Melayu dan kaum lain di Selangor. Kita tidak mahu halangan tertentu dikenakan untuk mengamalkan agama di kawasan tertentu,” katanya.
Mengenai kekalahan BN di Selangor, Dr Mohamad Khir berkata, parti itu akan melakukan kajian terperinci bagaimana ia berlaku dan berjanji bekerja keras bagi memastikan BN kembali memerintah dalam masa empat tahun lagi.
“Kita tidak pernah patah semangat. Di Selangor, kita bertanding empat parti dan BN menang 20 kerusi, PKR hanya menang 15, DAP 13 dan Pas lapan, siapa yang banyak kerusi?” katanya.
Ditanya kelewatannya mengadakan sidang media itu, beliau berkata, BN perlu mengambil kira perasaan pengundi dan rakyat Selangor, selain menunggu cadangan kerajaan yang ditubuhkan sebab mereka bertanding mengikut parti dan ada manifesto berbeza.
Katanya, pembangkang ada dua manifesto iaitu DAP dengan manifestonya dan PKR serta Pas ada manifesto bersama.
Beliau menolak khabar angin ada percubaan BN untuk memujuk ahli Pas menyertai parti itu kerana menyifatkan ia tidak logik berbuat demikian terhadap lapan wakil rakyat Pas.
Dr Mohamad Khir juga berkata, pentadbirannya tidak ada apa yang perlu disorokkan, termasuk membawa keluar dokumen kerajaan dari bangunan pentadbiran kerana beliau mempunyai semua butiran termasuk kedudukan kewangan Selangor, simpanan negeri dan keuntungan yang diperoleh anak syarikat kerajaan.