|


Pemuda Sabah tetap setia

KOTA KINABALU: Pemuda Umno Sabah sebulat suara menyokong kepemimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri dan Presiden Parti serta yakin khidmat beliau masih diperlukan rakyat dan negara.

Sayap kanan Umno turut menyokong pelantikan semula Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Musa Aman sebagai Ketua Menteri berikutan kecemerlangan kepemimpinannya memajukan negeri.

Ketua Pemuda Umno negeri, Datuk Japlin Akim, berkata pergerakan itu mengecam tindakan pihak tertentu yang mengapi-apikan desakan supaya Abdullah meletak jawatan.

"Tiada alasan kukuh untuk mendesak Abdullah meletak jawatan kerana Perdana Menteri berjaya membela rakyat dan memartabatkan imej negara pada peringkat antarabangsa.

"Kita yakin Perdana Menteri mampu meneruskan khidmat cemerlang kepada rakyat dan negara serta mengembalikan kegemilangan Barisan Nasional (BN) dan Umno pada masa depan.

"Pemuda Umno Sabah tetap berdiri teguh di belakang Abdullah dan Musa," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Pemuda Umno Sabah di Bangunan Umno Sabah di sini, semalam.

Artikel lain: