|


BN Sarawak ambil iktibar di Semenanjung

KUCHING: Barisan Nasional (BN) Sarawak akan bekerja keras bagi memastikan misi ‘Tawan Sarawak 2011’ oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) sehari selepas kejutan politik berlaku di Semenanjung pada pilihan raya umum kali ini, tidak menjadi realiti.

Setiausaha Agung BN Sarawak, Dr Stephen Rundi Utom, berkata walaupun pilihan raya umum baru lalu membuktikan sokongan pengundi di Sarawak kepada BN tetap padu, terutamanya di 23 kerusi luar bandar, BN Sarawak tidak memandang ringan tsunami politik yang berlaku di Semenanjung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemena itu berkata, BN Sarawak mengambil iktibar daripada angin perubahan kencang yang berlaku di Semenanjung sehingga empat negeri jatuh ke tangan pembangkang, selain satu negeri berjaya dipertahankan pembangkang.

"Kita ambil iktibar daripada apa yang berlaku di Semenanjung. Justeru, kita akan memastikan setiap wakil rakyat BN di negeri ini sentiasa dekat di hati rakyat.

“Saya ingin mengingatkan diri saya dan semua wakil rakyat supaya lebih kerap turun padang, ambil tahu permasalahan dan keluhan rakyat serta bawa ke peringkat tertinggi untuk tindakan.

"Jangan hanya datang ke kawasan bila ada majlis atau perasmian sesuatu acara. Kita kena sentiasa bergaul dengan rakyat di kawasan, termasuk di kedai kopi, warung, masjid atau gereja, malah di mana-mana saja. Tunjukkan kehadiran kita dan tunjukkan bahawa kita bekerja untuk rakyat," katanya ketika dihubungi.

Dr Rundi yang juga Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata demikian sebagai mengulas misi PKR untuk menawan Sarawak pada pilihan raya Dewan Undangan negeri (DUN), yang dijangka diadakan selewat-lewatnya pada 2011.

Pengerusi Perhubungan PKR Sarawak, Dominique Ng, kelmarin memberitahu Berita Harian mengenai misi itu akan bertanding di semua 71 kerusi DUN Sarawak.

Kali terakhir Sarawak mengadakan pilihan raya DUN adalah pada 20 Mei 2006, iaitu tujuh bulan lebih awal dari tempoh tamat penggal DUN negeri ini.

Ini bermakna penggal DUN yang ada sekarang akan tamat pada 24 Julai 2011, sekali gus memungkinkan pilihan raya negeri diadakan sama ada pada penghujung 2010 atau awal 2011.

Pada pilihan raya itu, BN Sarawak menang di 62 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan, lapan DAP dan satu PKR. Semua kawasan yang ditawan pembangkang adalah kawasan majoriti pengundi Cina.

Pada pilihan raya umum baru lalu, PKR bukan saja kalah di semua 12 kerusi yang ditandinginya di Sarawak, malah tiga calonnya -See Chee How yang bertanding di Parlimen Stampin; Lim Chin Chuang di Parlimen Sibu dan Japar Suyot di Parlimen Lawas, hilang wang pertaruhan.

Sementara itu, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Seri Dr James Jemut Masing, berkata misi PKR itu adalah satu mesej yang tidak sesuai untuk Sarawak kerana negeri ini masih jauh ketinggalan dari segi pembangunan berbanding negeri di Semenanjung.

"Penduduk Sarawak terutama masyarakat luar bandar masih yakin hanya BN mampu membangunkan kawasan mereka. Isu seperti keadilan sosial serta demonstrasi jalanan yang diapi-apikan pembangkang misalnya, tidak dapat 'dijual' di Sarawak kerana masyarakat luar bandar terutamanya masih dahagakan pembangunan.

"Mungkin 10 atau 20 tahun lagi barulah isu seperti itu boleh 'membeli hati' pengundi di Sarawak selepas pembangunan dibawa oleh BN,” katanya.

Justeru, beliau berkata, pemimpin politik harus mendengar suara akar umbi bagi memastikan rakyat setia bersama BN selepas rakyat menikmati pembangunan yang dibawa BN.

Artikel lain: