BUTTERWORTH: Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, semalam menyatakan sokongan sebulat suara terhadap kepemimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam parti dan kerajaan.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah, berkata semua Umno bahagian di negeri ini menyatakan sokongan padu terhadap Abdullah sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Umno dan Barisan Nasional (BN).
“Saya dan pemimpin Umno bahagian di negeri ini sudah menemui Pak Lah dan menyatakan sokongan padu kami kepada beliau. Kami juga membincangkan isu kekalahan dan kelemahan BN dalam pilihan raya umum yang lalu.
"Dalam perbincangan itu, kami menganggap kekalahan BN di Pulau Pinang bukan disebabkan isu peribadi, sebaliknya gelombang perubahan rakyat yang melanda seluruh negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi bagi mengulas kekalahan teruk BN di Pulau Pinang yang menyaksikan pakatan pembangkang membentuk kerajaan baru.
Dalam pilihan raya itu, DAP memenangi semua 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mereka tandingi, manakala PKR menang sembilan daripada 16 kerusi DUN manakala Pas menang satu daripada lima kerusi DUN ditandingi mereka.
BN pula hanya menang 11 daripada 40 kerusi DUN di negeri ini, semuanya milik Umno.
Abdul Rashid berkata, keputusan pilihan raya umum yang lalu adalah satu pengajaran buat semua parti komponen BN dan mereka perlu mencari jawapan kepada kekalahan mereka.
Katanya, tanggungjawab kekalahan itu bukan hanya terletak pada parti komponen BN iaitu Gerakan, MCA dan MIC, tetapi juga Umno kerana ia menunjukkan yang pengundi Melayu, Cina dan India enggan menyokong BN.