KUALA LUMPUR: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) mencadangkan Barisan Nasional (BN) menubuhkan kerajaan campuran dengan pembangkang bagi menjamin kestabilan politik negara dan masa depan orang Melayu dan Islam.
Yang Dipertuanya, Datuk Mohd Nakhaie Ahmad, berkata pembangkang terutama Pas perlu memikirkan saranannya bagi memastikan ketuanan Melayu tidak lupus di negara sendiri.
“Saya percaya Pas dan Umno menghendaki kedudukan agama Islam dan hak orang Melayu sebagai Bumiputera di negara ini terjamin.
“Dalam keadaan sekarang, mereka mesti membuktikan bahawa mereka berjuang untuk agama, bangsa dan negara serta meletakkan perjuangan ini mengatasi peribadi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata, keputusan pilihan umum yang lalu seharusnya menyedarkan orang Melayu.