KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk S Subramaniam, semalam menawarkan diri untuk memulihkan dan memperkukuhkan semula parti itu yang kalah teruk dalam pilihan raya umum lalu, supaya kecemerlangan lampaunya dapat dikembalikan.
Sambil menyifatkan 8 Mac lalu sebagai hari paling menyedihkan dalam kehidupan politiknya, Subramaniam merayu setiap anggota masyarakat India supaya kembali menjunjung parti itu.
Untuk itu, beliau turut mencadangkan semua parti berasaskan kaum India di negara ini, seperti Barisan Progresif India (IPF) dan Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) menyertai MIC, untuk menjadikan parti itu suara tunggal masyarakat.
Beliau yakin MIC boleh diselamatkan jika semua pihak bekerjasama bagi meraih semula sokongan masyarakat India, termasuk mengajak kembali semua ahli dan pemimpin yang pernah meninggalkan parti sebelum ini atas pelbagai sebab.
“Sebagai bekas pimpinan tertinggi MIC dan sekarang pemimpin peringkat akar umbi, saya mahu membantu membina semula MIC. Saya yakin MIC masih ada tempat di hati masyarakat India yang mahu melihat parti ini bangkit semula.
“Saya sedia mengenepikan perbezaan peribadi dengan pucuk pimpinan sekarang dan sudah memaklumkan hasrat saya kepada presiden parti (Datuk Seri S Samy Vellu).
“Jika parti memerlukan khidmat saya, saya sedia dengan tangan terbuka. Jawatan tidak penting, sebaliknya ikhlas membantu parti yang saya bantu bina hampir tiga dekad.
“Setiap ahli masyarakat India mesti menjadi sebahagian MIC dan marilah kita jadikan MIC sebagai payung kita. Biarlah yang lalu menjadi sejarah dan rapatkan barisan demi bangsa dan negara,” katanya pada sidang akhbar di kediamannya di sini, semalam,
Mengulas desakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan kaum India supaya Samy Vellu berundur, beliau berkata, ia tidak akan menyelesaikan sebarang masalah dan keputusan itu hanya boleh dibuat presiden parti sendiri.
“Tidak ada yang lebih menyedihkan daripada melihat parti yang kami bina musnah sebegini rupa.
“Kita tidak mahu lagi parti alternatif untuk orang India atau kumpulan serpihan,” katanya.
Subramaniam tersingkir daripada pucuk pimpinan tertinggi MIC pada pemilihan parti 2006 apabila Samy Vellu membuat percaturan menyokong Naib Presiden ketika itu, Datuk G Palanivel, mencabarnya untuk jawatan Timbalan Presiden yang disandangnya hampir 27 tahun.
Beliau kini Ketua MIC Bahagian Seputih.
Sementara itu, difahamkan, Samy Vellu sudah menyatakan keengganannya untuk dipertimbangkan menganggotai Kabinet, sebaliknya mencadangkan tiga nama - Datuk Dr S Subramaniam (Segamat), Datuk M Saravanan (Tapah) dan S K Devamany (Cameron Highlands) untuk menggantikannya.
Sementara itu, di MENTAKAB, kira-kira 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan jawatankuasa kuil mewakili kaum India di Pahang mendesak kerajaan melantik S Samy Vellu sebagai Senator bagi melayakkan beliau dipilih menjadi menteri, sekali gus menganggotai Kabinet.
Wakil kumpulan terbabit, Sivalingam Sinnathamby, berkata Samy Vellu tetap menjadi suara masyarakat India dalam kerajaan dan kehadirannya dalam kabinet diperlukan bagi menangani punca kemerosotan prestasi BN, khususnya MIC pada dalam pilihan raya umum lalu.
“Kekalahan Samy Vellu di Parlimen Sungai Siput hanya menunjukkan kemahuan pengundi di sana sedangkan masyarakat India negara ini terus mahukan beliau berkhidmat selagi masih menjadi Presiden MIC,” katanya.