|


Pencapaian Puteri membanggakan
Oleh Siti Nurazlinee Azmi

KUALA LUMPUR: Pencapaian baik calon Puteri Umno dalam pilihan raya umum membuktikan kredibiliti dan keupayaan wanita muda dalam arena politik negara, kata Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad.

Barisan Nasional (BN) meletakkan 10 calon Puteri pada pilihan raya lalu berbanding hanya empat calon pada 2004. Daripada 10 calon itu, enam menang kerusi masing-masing.

Calon Puteri Umno bertanding di lapan negeri iaitu dua di Perak dan Selangor manakala Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang, Johor dan Sabah masing-masing seorang.

Noraini berkata, pencapaian calonnya dalam pilihan raya amat membanggakan kerana meningkatnya kepercayaan terhadap perkhidmatan wanita dalam parti sekali gus memberi laluan kepada mereka menonjolkan bakat kepemimpinan.

Beliau berkata, kemenangan enam calon di seluruh negara disebabkan beberapa faktor antaranya kemampuan calon yang berupaya menawan hati rakyat melalui pendekatan positif seperti mendekatkan diri dengan masalah yang dialami rakyat.

“Pada saya kemenangan calon Puteri adalah satu pencapaian sangat bagus dan kepada mereka yang terpilih untuk mewakili rakyat seharusnya menjalankan tugas mereka dengan lebih kuat.

“Kemenangan perlu disusuli dengan usaha dan kerjasama yang kuat daripada semua ahli supaya dapat memantapkan kredibiliti Puteri dan parti,” katanya ketika dihubungi semalam.

Bagaimanapun, Noraini menyifatkan kekalahan empat calonnya di Kelantan, Terengganu dan dua di Selangor sebagai pengajaran untuk memperbetulkan kesilapan dan seterusnya memperbaharui strategi untuk dijadikan senjata pada masa depan.

“Kepada mereka yang kalah, saya menganggap kekalahan itu tipis dan ia boleh dijadikan rujukan dan apa yang penting setiap ahli perlu melaksanakan tanggungjawab untuk terus mendapatkan sokongan padu rakyat.

“Saya yakin dengan memberi sokongan padu kepada parti, sudah tentu Puteri mampu berdiri teguh seterusnya dapat bersama-sama untuk menjaga hak wanita.

“Apatah lagi peranan wanita sangat penting untuk menjadi pendengar kepada permasalahan wanita di luar sana untuk dibincangkan dan diselesaikan bersama dengan kerajaan,” katanya.

Enam calon Puteri yang menang ialah Noraini di kerusi Parlimen Parit Sulong; Rosnah Abdul Rashid, yang berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Papar, manakala empat kerusi DUN ialah Tualang Sekah (Nolee Ashilin Mohd Radzi), Kuala Sentul (Datuk Shahaniza Shamsuddin), Sungai Tiang (Suraya Yaacob) dan Kampung Gajah (Dr Wan Norashikin Wan Nordin).

Artikel lain: