|


Mohd Ali janji khidmat terbaik kepada rakyat
Oleh Badrul Hizar Ab Jabar

MELAKA: Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang mengangkat sumpah Ketua Menteri Melaka bagi penggal ketiga berturut-turut berjanji terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat terutama bagi mencapai wawasan Melaka Maju 2010.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri itu mengangkat sumpah memegang jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakub di Pejabat Yang Dipertua Negeri, Ayer Keroh, tepat jam 10.15 pagi.

Mohd Ali, 58, yang pertama kali dilantik jawatan berkenaan pada 1999 menerima pengesahan terus memimpin kerajaan negeri daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kelmarin selepas memimpin BN negeri memenangi dua pertiga atau 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 28 dipertandingkan. Lima lagi dimenangi DAP.

Beliau memenangi kerusi DUN Bukit Baru, menewaskan Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Bakrin Sidek dengan majoriti 2,708 undi selepas memperoleh 7,644 undi berbanding lawan 4,936 undi.

Ketika ditemui selepas majlis itu, Mohd Ali berkata senarai barisan Exco baru kerajaan negeri termasuk tiga muka lama sudah dipersetujui Perdana Menteri dan portfolio mereka akan diumumkan hari ini.

Tiga yang dikekalkan adalah Datuk Yaakub Mohd Amin (Adun Sungai Udang), Datuk Mohd Yunos Husin (Ayer Molek) dan Datuk Ab Karim Sulaiman (Tanjung Bidara), semuanya mewakili Umno.

Tujuh muka baru termasuk empat wakil Umno adalah Datuk Abdul Ghafar Atan (Gadek), Datuk Mohd Hidhir Abu Hassan (Merlimau), Datuk Latif Thamby Chik (Telok Mas) dan Norpipah Abdul (Rembia), manakala dua wakil MCA, Datuk Seet Har Cheow (Kelebang) dan Gan Tian Loo (Duyong) serta Adun Asahan, R Perumal mewakili MIC.

Exco lama adalah Datuk Hamdin Abdollah (Pembangunan Desa dan Pertanian), Datuk Ramlah Abas (Hal Ehwal Wanita, Kebajikan Masyarakat dan Perpaduan), Datuk R Raghavan (Belia dan Sukan), Datuk Seah Kwi Tong (Penerangan, Multimedia, Sains dan Teknologi), Datuk Koh Nai Kwong (Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Pengangkutan), Datuk Wira Ahmad Hamzah (Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi) dan Datuk Ab Rahaman Ab Karim (Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan).

Hamdin, Ramlah, Raghavan dan Seah tidak dicalonkan semula pada pilihan raya lalu, manakala Koh tewas di DUN Kesidang; Ahmad berpindah ke Parlimen Jasin dan Ab Rahaman bakal diberi jawatan lain.

Mohd Ali memberi jaminan kerajaan akan meneruskan semua projek pembangunan seperti dijanjikan bagi memastikan wawasan Melaka Maju 2010 tercapai dan berharap semua pihak memberi kerjasama.

"Ini termasuk projek yang sudah diluluskan di Parlimen Kota Melaka meskipun pengundi memberi kemenangan kepada calon DAP. Tapi kalau projek baru, saya terpaksa berfikir dua kali sebelum melaksanakannya," katanya.

Selain Kota Melaka, BN terlepas tiga kerusi DUN di Parlimen berkenaan iaitu Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir yang majoritinya pengundi Cina selain dua lagi di Parlimen Bukit Katil iaitu Ayer Keroh dan Bachang.

Artikel lain: