PETALING JAYA: Profesor Diraja Ungku Aziz melihat keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 yang menyaksikan kemaraan parti pembangkang dengan Barisan Nasional (BN) kehilangan lima negeri sebagai pembukaan sebuah buku baru.
Katanya, situasi berkenaan menunjukkan kuasa sebenar terletak di tangan masyarakat sekali gus ia harus dihormati dan difahami sebaik mungkin.
“Bukan masanya kita menuding kesalahan kepada sesiapa kerana ia tidak akan mendatangkan hasil sebaliknya pertimbangkan dan fikir mengapa berlakunya situasi begini.
“Perubahan ini juga membawa maksud kita perlu melihat pelbagai kemungkinan selain menyelami kehendak masyarakat yang inginkan perubahan,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan buku Sayang Himpunan Pantun dan Seloka Kanak-kanak yang dikumpul isterinya, Azah Aziz, di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MPH (M) Sdn Bhd, Datuk Ng Tieh Chuan.
Mengenai buku yang dilancarkan, Ungku Aziz berkata, koleksi warisan itu mempunyai nilai tinggi sebagai sumber rujukan istimewa demi perkembangan dan pembangunan minda kanak-kanak seawal usia senam bulan hingga 10 tahun.
“Buku seperti ini mampu merangsang hati, mata dan telinga kanak-kanak kerana ia bukan sekadar menonjolkan pantun atau seloka yang mempunyai kaitan dengan kehidupan harian kita, malah dilengkapkan gambar menarik,” katanya.
Sayang yang dilengkapi ilustrasi kreatif Dzulkafli Buyong dijual pada harga RM30.