PUTRAJAYA: Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 akan diwartakan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selesai mengemaskini data dari semua 14 negeri.
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata individu atau parti politik yang ingin mengemukakan petisyen di mahkamah perlu menunggu sehingga keputusan diwartakan.
“Ibu pejabat SPR menerima semua data dan dalam proses menyemak serta mengemaskini sebelum dicetak dan diwartakan.
"Proses ini akan dilakukan secepat mungkin dan sekali tidak akan dilengahkan,” katanya kepada Berita Harian ketika dihubungi semalam.
Seksyen 34 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 membolehkan mana-mana pihak yang tidak berpuas hati keputusan pilihan raya memfailkan petisyen pilihan raya kepada Mahkamah Tinggi mengikut negeri bertanding.
Seksyen 38(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 pula menyebut, petisyen pilihan raya hendaklah difailkan di mahkamah dalam tempoh 21 hari dari tarikh keputusan diwartakan.
Wan Ahmad berkata, SPR akan mengumumkan tarikh pewartaan bagi membolehkan semua pihak termasuk parti politik menyemak semua data.
"Sebaik diwartakan, keputusan pilihan raya sudah menjadi dokumen awam dan sesiapa saja boleh mendapatkannya sama ada di ibu pejabat SPR atau di pejabat SPR negeri untuk semakan," katanya.