MARANG: Pengerusi Barisan Nasional Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh lebih senang mengambil sikap mengunci mulut dan hanya menyerahkan keputusan mengenai pelantikan Menteri Besar kepada pihak istana.
Beliau berkata, adalah tidak wajar untuknya menjawab persoalan itu walaupun pelbagai spekulasi timbul mengenai penangguhan pelantikannya sebagai Menteri Besar bagi penggal kedua selepas kemenangan dua pertiga BN, Sabtu lalu.
"Itu bergantung kepada istana. Spekulasi itu biasalah. Saya tak jawab soalan itu. Saya serahkan pada istana. Tidak wajar dan tidak perlu saya jawab soalan berkenaan," katanya.
Idris berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat seorang daripada puluhan mangsa tindakan ganas penyokong parti pembangkang di Rusila, di sini pada hari mengundi, Sabtu lalu.
Mangsa, Nordarwina Ahmad Anuar, 25, bersama bapanya, Ahmad Anuar Abdul Hanif, 62, yang ke pusat pembuangan undi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Marang secara tiba-tiba dikepung sekumpulan kira-kira 40 lelaki dan wanita sehingga menyebabkan kecederaan di tangan selain bapanya mengalami sakit dada.
Kelmarin, majlis mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar ditangguhkan berikutan Idris terpaksa ke Kuala Lumpur bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, selain menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.
Penangguhan itu dikaitkan dengan spekulasi yang tersebar luas di negeri ini bahawa majlis berkenaan terpaksa ditangguhkan kerana pihak istana tidak bersetuju Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu dilantik semula sebagai Menteri Besar.
Sementara itu, Idris berkata, pihaknya sedang giat mengumpul maklumat mengenai kes kekerasan dan keganasan di Rusila dan akan menghantar petisyen kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beliau berkata, setakat ini polis sudah menerima lebih 90 aduan mengenai kes kekerasan membabitkan kejadian Sabtu lalu apabila lebih 1,000 penyokong parti pembangkang merusuh dan bertindak ganas selain menahan kad pengenalan pengundi yang didakwa sebagai `pengundi hantu'.
"Saya rasa SPR akan mengambil tindakan sewajarnya kerana keganasan yang berlaku turut menyebabkan ramai pemilih tidak dapat keluar mengundi kerana bimbang keselamatan mereka terancam.
"Kita juga akan menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka," katanya sambil menambah kejadian keganasan yang berlaku itu melampaui jangkaan dan tidak boleh dikawal.