|


Pak Lah wajar diberi ruang tadbir negara
Oleh Azmi Md Deros, Mohd Anwar Patho Rohman dan Hafizan Taib

KUALA LUMPUR: Kepemimpinan Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menerajui pentadbiran kerajaan dan parti terus mendapat sokongan padu pelbagai pihak, semalam.

Malah, parti politik dan dewan perniagaan yang menyampaikan mesej peringkat akar umbi berpendapat Presiden Umno itu wajar diberi ruang melaksanakan tanggungjawab penting untuk kepentingan rakyat dan negara.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata selain Abdullah, sokongan yang tidak berbelah bahagi juga diberikan kepada Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

“Mesyuarat hari ini (semalam) yang dihadiri Ketua Umno Bahagian, Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri menyokong penuh kepemimpinan Presiden dan Timbalannya bagi meneruskan agenda negara,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu di Alor Star semalam.

Mahdzir berkata, Umno Kedah juga akan menubuhkan badan yang dianggotai tokoh politik, profesional dan ahli akademik untuk melakukan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) Kedah pada pilihan raya umum Sabtu lalu.

Ketua Pemuda Umno Perak, Zainol Fadzi Paharudin turut menyatakan pendirian untuk teguh di belakang kepemimpinan Perdana Menteri dan peringkat parti.

Beliau berkata, pergerakan itu yakin kepemimpinan Abdullah masih diperlukan rakyat dan semua pihak juga harus menyatakan pendirian sama, termasuk sokongan kepada Pengerusi BN dan Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali.

“Kami mahu Perdana Menteri kekal sebagai pemimpin nombor satu negara dan menyokong sebarang keputusan diambil demi kepentingan negara.

“Diharap tindakan pihak tertentu yang mahu menjatuhkan kepemimpinan parti dan negara menghentikan segera untuk kepentingan semua,” katanya.

Zainol Fadzi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Manik berkata, pihaknya mahu semua ahli pergerakan itu tidak terbabit dalam sebarang gerakan yang boleh menggugat imej parti.

Selain itu, Ketua Pemuda Umno Sabah, Datuk Japlin Akim menyampaikan mesej sokongan kepada Abdullah, Najib dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman untuk meneruskan perjuangan parti bagi memelihara kebajikan rakyat.

Beliau berkata, pergerakan itu akan memberi sokongan penuh terhadap sebarang langkah untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan BN.

“Saya percaya kita mempunyai perancangan. Kita memang berasa terkilan dan kecil hati dengan apa yang berlaku, tetapi pada masa sama kita perlu cuba merenung kembali kesilapan lalu.

“Kita harus menerima hakikat rakyat perlu didekati dan kita perlu kukuhkan perpaduan di kalangan ahli Umno serta ahli BN, selain memberi keutamaan berkhidmat untuk rakyat pada peringkat akar umbi,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang (DPMMPP), Rizal Faris Mohideen, berkata DPMMPP sentiasa berada di belakang Perdana Menteri, walaupun suasana politik negara berubah selepas pilihan raya umum minggu lalu.

Katanya, DPMMPP menganggap perubahan gelombang politik disebabkan ruang demokrasi lebih terbuka disediakan sepanjang tempoh Abdullah menjadi Perdana Menteri.

“Landasan untuk rakyat membuat pilihan lebih luas, sebab itulah berlaku gelombang perubahan dalam politik pada pilihan raya umum lalu,” katanya pada sidang media di pejabat DPMMPP di sini, semalam.

Rizal Faris juga berkata, DPMMPP menghormati dan menerima baik keputusan rakyat hingga terbentuk kerajaan Pusat yang diterajui BN dan mempunyai harapan tinggi terhadap Kerajaan Pulau Pinang yang baru.

Artikel lain: