PUTRAJAYA: Sehari selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, semalam kembali bertugas di Pejabat Perdana Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini.
Sehingga petang ini, difahamkan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), masih berada di pejabat untuk bertemu beberapa pemimpin Badan Perhubungan BN dan Umno negeri yang mahu mendapatkan nasihat berhubung senarai barisan anggota Exco masing-masing.
Antara pemimpin negeri terbabit ialah Datuk Abdul Ghani Othman, Datuk Seri Shahidan Kassim serta Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.
Sumber memberitahu, Abdul Ghani dan Shahidan dikatakan menemui Perdana Menteri untuk mendapatkan pandangan Abdullah berhubung senarai Exco negeri.
Kelmarin, Abdul Ghani dilaporkan akan mengadap Sultan Johor untuk mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar bagi penggal keempat kerajaan BN seawal-awalnya akhir minggu ini.
Sementara itu, Shahidan dijangka kekal sebagai Menteri Besar Perlis untuk penggal keempat selepas menang DUN Tambun Tulang.
“Shahidan mungkin kekal Menteri Besar Perlis kerana kejayaan mengekalkan majoriti dua pertiga untuk membentuk kerajaan BN, walaupun sebelum ini berlaku sedikit pergolakan dalaman dalam parti sebelum pilihan raya umum diadakan,” kata satu sumber.
Difahamkan, Perdana Menteri akan mengumumkan senarai anggota Kabinet baru awal minggu depan berikutan kemenangan BN yang memperoleh 140 kerusi Parlimen berbanding 82 pembangkang.