Pelantikan MB kerajaan campuran Perak, Selangor belum diputus
KUALA LUMPUR: Pelantikan Menteri Besar kerajaan campuran DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas di Selangor serta Perak masih buntu kerana belum mendapat perkenan Sultan di negeri masing-masing.
Gabungan ketiga-tiga parti itu di Perak mengemukakan tiga nama calon Menteri Besar - Mohammad Nizar Jamaluddin (Pas), Jamaluddin Mohd Radzi (PKR) dan Ngeh Koo Ham (DAP) untuk dipilih oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah.
Senarai nama calon berkenaan dikemukakan oleh rombongan pemimpin ketiga-tiga parti itu di Istana Kinta, Ipoh pada jam 2 petang semalam.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Sabtu lalu, Nizar yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Pas Perak, menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Panjang, manakala Jamaluddin (Bendahari PKR Perak) di DUN Behrang dan Ngeh (Pengerusi DAP Perak) di DUN Sitiawan serta Parlimen Beruas.
Pada sidang media selepas menghadap Sultan Perak, Ngeh berkata, keputusan siapa yang akan dipilih sebagai Menteri Besar dijangka diketahui selewat-lewatnya hari ini dan istiadat angkat sumpah dijadualkan berlangsung, esok.
“Pakatan DAP, PKR dan Pas di negeri ini bersepakat untuk menerima sesiapa saja calon yang diputuskan sebagai Menteri Besar Perak baru tanpa mengira daripada parti mana,” katanya.
Mengenai syarat Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak yang memperuntukkan jawatan tertinggi dalam kerajaan negeri itu disandang oleh seorang Melayu beragama Islam, Ngeh berkata, ada klausa yang menyatakan Sultan Perak boleh menggunakan budi bicara baginda dalam melaksanakan syarat itu.
Ngeh berkata, siapa juga yang dipilih mengetuai kerajaan campuran itu akan menjadi pemimpin semua kaum di Perak dan ketiga-tiga parti mempunyai persamaan dari segi dasar untuk menghapuskan polisi perkauman.
Katanya, senarai barisan Exco kerajaan negeri campuran akan diumumkan selepas majlis angkat sumpah Menteri Besar.
Dalam pilihan raya umum Sabtu lalu, DAP menang 18 daripada 59 kerusi DUN di Perak, PKR (tujuh) dan Pas (enam), manakala Barisan Nasional (BN) memenangi 28 kerusi. Kerajaan campuran terpaksa ditubuhkan akibat kegagalan mana-mana parti mendapat 30 kerusi bagi mencapai majoriti mudah.
Di SHAH ALAM, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menerima menghadap wakil DAP dan Pas secara berasingan petang semalam bagi mendapatkan kepastian mengenai kesediaan dua parti itu bekerjasama dengan PKR untuk membentuk kerajaan campuran di negeri itu.
Bagaimanapun, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan pihak Istana Bukit Kayangan berhubung hasil pertemuan pusingan kedua itu.
Kelmarin, Sultan Sharafuddin menerima menghadap Setiausaha Agung PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, selama hampir sejam.
Wakil DAP yang juga Setiausaha Wanita parti itu, Teresa Kok, yang ditemui pemberita selepas menghadap Sultan Selangor berkata, pada pertemuan itu DAP menyerahkan surat sokongan berhubung pemilihan Abdul Khalid untuk dilantik sebagai Menteri Besar.
Dalam pertemuan itu, katanya, baginda mahu mengetahui sama ada DAP boleh bekerjasama dengan PKR dan Pas dalam membentuk kerajaan campuran.
“Bila hendak membentuk kerajaan, kita kena bekerjasama. PKR, DAP dan Pas akan duduk bersama-sama untuk membincangkan barisan yang betul-betul baik,” katanya selepas menghadap Sultan Selangor selama 40 minit bermula jam 2.50 petang.
Mengenai kemungkinan diwujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar, Teresa berkata, ia akan diumumkan kemudian.
Wakil Pas disertai Timbalan Presidennya, Nasharuddin Mat Isa, Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Mohamed Hassan Ali, yang menghadap baginda lebih sejam selepas itu, meninggalkan pekarangan istana tanpa sebarang kenyataan.
Sementara itu, Khalid ketika dihubungi New Straits Times berkata, pemimpin DAP dan Pas memberitahunya bahawa mereka sudah memaklumkan kepada Sultan Selangor mengenai persetujuan pelantikannya sebagai Menteri Besar.
Bagaimanapun, beliau masih menunggu pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri memaklumkan tarikh majlis angkat sumpah, tetapi ia dijangka diadakan sebelum Sabtu ini.
Ketua Menteri Melaka dan Pulau Pinang serta Menteri Besar Kelantan mengangkat sumpah jawatan semalam, sekali gus menjadi antara kerajaan negeri terawal dibentuk selepas Sabah dan Kedah.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri di hadapan yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob, manakala Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas di Seri Mutiara, Pulau Pinang.
Guan Eng, 48, dilantik sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang selepas parti itu dan PKR membentuk kerajaan campuran apabila menang dengan majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Umum Ke-12.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menerima watikah pelantikan sebagai Menteri Besar daripada Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra di Istana Negeri, Kota Bharu, malam tadi.
Nik Aziz, 77, kekal menjadi Menteri Besar Kelantan untuk penggal kelima, sejak Pas menerajui negeri itu pada 1990.
Upacara mengangkat sumpah dan pelantikan Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai Menteri Besar buat penggal kedua pula diadakan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman di Istana Besar Seri Menanti, jam 11 pagi ini.
Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dijadualkan mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar penggal ketiga di hadapan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar, Pekan jam 11 pagi ini, manakala pengurniaan surat cara pelantikan Exco, esok.
Majlis angkat sumpah jawatan Menteri Besar Terengganu, Perlis dan Johor belum ditetapkan. Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Pengerusi BN Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pula masih berada di ibu negara.