|


Kayveas syor empat parti komponen BN bergabung

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M Kayveas mengesyorkan empat parti komponen BN - MCA, Gerakan, MIC dan PPP bergabung menjadi parti pelbagai kaum dalam gabungan Barisan Nasional (BN) bagi membentuk pakatan yang lebih kuat bersama Umno.

Beliau berkata, langkah itu perlu berikutan kegagalan BN mendapat majoriti dua pertiga dan kehilangan kuasa di lima negeri.

“Sekarang adalah masa yang sesuai untuk BN menjadi parti yang mempunyai sistem dua parti. Saya harap BN buka mata dengan keputusan pilihan raya lalu kerana ia sangat jelas, parti komponen sudah kehilangan sokongan rakyat terutama golongan muda.

“Saya sudah mencadangkan perkara ini dulu, tapi tiada siapa mahu mendengarnya. Semua ingat parti mereka kuat dan sangat berkuasa. Saya katakan ini semua bukan hendak mulakan pergaduhan dengan sesiapa tetapi mahu kita semua sedar. Untuk terus relevan kepada rakyat, kita perlu menjadi parti untuk semua kaum,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi PPP di sini, semalam.

Kavyeas berkata, jika BN tidak menyedari kepentingan menjadi parti pelbagai bangsa, senario parti komponen hilang kebanyakan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau kekalahan lebih besar pasti berulang.

“Kita kena berikan alternatif kepada rakyat. Apabila semua parti komponen BN bergabung dalam satu parti, ketidakpuasan hati kaum lain dapat dihapuskan,” katanya.

Beliau berkata, punca kekalahan BN di beberapa kawasan Parlimen dan DUN yang dulunya dimonopoli BN adalah disebabkan gelombang baru pengundi yang mahukan perubahan.

“Kita memang jangkakan kehilangan sedikit sokongan rakyat tetapi tidak menjangka berlaku tsunami politik yang membuatkan ada parti yang berkuasa sebelum ini hilang kuasa sama sekali,” katanya.

Beliau juga menafikan sesetengah pendapat parti yang diterajuinya itu semakin hilang punca dan tidak relevan dalam arena politik negara.

“Itu hanyalah pendapat sesetengah orang yang tidak memahami politik sebenar. Walaupun PPP menerima dua kekalahan apabila saya tewas di Parlimen Taiping dan Lee Heng tewas di DUN Pasir Berdamar, ini hanyalah permulaan buat PPP,” katanya.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan PPP akan terus menyokong gabungan BN dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Esok (hari ini) PPP akan mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa di mana 587,000 ahli akan menyatakan kesetiaan dan sokongan padu kepada BN, pucuk pimpinan parti serta timbalannya kerana PPP yakin BN akan bangkit selepas ini.

Kavyeas juga berkata PPP sedia menerima sebarang jawatan dalam kabinet jika ditawarkan oleh Perdana Menteri kerana beliau tidak pernah berada dalam kabinet sebelum ini.

Sementara itu, Barisan Kemajuan India Malaysia (IPF) sedia bekerjasama dengan MIC untuk mengukuhkan perpaduan masyarakat India bagi memastikan mereka kembali menyokong BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Presidennya, V Senggutuan, bagaimanapun berkata IPF tidak akan dibubarkan ekrana sejak sekian lama memang telah membantu MIC

“Kita dengan rela hati menyokong MIC kerana ini sangat penting. Semua pemimpin atasan MIC mesti turun ke akar umbi dan tidak boleh sekadar bercakap di atas menyebabkan masalah akar umbi tidak diatasi, kena cari punca,” katanya.

Artikel lain: