ALOR STAR: Kerajaan Kedah menafikan ia akan mengkaji semula dasar berkaitan pelaburan di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), kawasan industri terbesar di Kedah yang membabitkan pelaburan asing dan tempatan berjumlah berbilion ringgit.
Menteri Besar, Azizan Abdul Razak, berkata beliau dihubungi oleh beberapa pihak memaklumkan pelabur di KHTP resah berikutan khabar angin itu.
"Itu tidak betul, bukan itu polisi kita kerana kerajaan sudah habiskan banyak tanah (untuk KHTP) mengapa kita hendak suruh mereka (pelabur) keluar," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco pertama di sini, semalam.
Beliau berkata, kerajaan Pas Kedah akan terus membantu pelabur asing di negeri ini dan mengarahkan Exco Industri, Pelaburan, Sains, Inovasi dan Pertanian, Amiruddin Hamzah, mengadakan perjumpaan dengan masyarakat pelabur segera.
Mengenai inisiatif Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER) yang turut membabitkan Kedah, Azizan berkata, beliau akan berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenainya.
Ditanya sama ada kerajaan negeri akan menyokong NCER, Azizan berkata:
"Saya hendak tengok dulu, dia (NCER) pun tak dilaksanakan lagi, baru dok bertunang lagi...baru meninang.”
Mengenai pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) di Kedah, Azizan berkata, ia akan dikaji selepas mengadakan pertemuan dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Jawatankuasa Ekonomi Negeri.
Azizan juga berkata, dasar kerajaan negeri sekarang seperti yang terkandung dalam manifesto pilihan raya parti berkenaan.