KUALA LUMPUR: Biro Pengaduan Awam MCA akan terus memberi khidmat kepada masyarakat walaupun parti itu mengalami prestasi buruk ketika Pilihan Raya Umum Ke-12, Sabtu lalu.
Ketuanya Datuk Michael Chong, berkata khidmat itu akan diteruskan kerana ternyata masih diperlukan rakyat yang menghubungi pejabat biro itu sejak selepas hari pembuangan undi.
“Mereka menghubungi kami dan bertanya sama ada masih boleh meminta bantuan daripada biro ini. Saya katakan kami tiada masalah dan akan berjalan macam biasa. “Kami tetap macam dulu, siapa saja boleh datang Melayu, Cina, India atau siapa saja kami akan bantu,” katanya pada sidang media di pejabat Biro Pengaduan Awam MCA di sini, semalam.
Chong berkata, beliau juga tidak berhasrat meninggalkan biro pengaduan awam seperti yang diperkatakan.
“Itu hanya khabar angin, saya juga terima banyak panggilan yang mengatakan saya sudah berhenti. Saya bukan wakil rakyat atau Ahli Parlimen jadi tak perlu merajuk,” katanya.
Beliau berkata, kedudukannya dalam biro itu bukan untuk kepentingan diri tetapi kerana mahu memberi khidmat kepada masyarakat.
“Ini bukan soal wang atau gaji. Saya tiada kepentingan untuk itu. Jika tidak di sini saya sudah ada cukup pendapatan untuk menampung diri dan keluarga saya,” katanya.