SHAH ALAM: Persoalan mengenai jawatan timbalan menteri besar mewakili kaum Cina dan India Selangor hanya akan diketahui selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan watikah pelantikan Menteri Besar baru yang dijangka minggu ini.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, berkata walaupun jawatan timbalan menteri besar tidak dinyatakan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, menteri besar berkuasa melantik timbalannya selepas mendapat perkenan Sultan Selangor.
"Timbalan menteri besar itu biasanya Melayu beragama Islam kerana bertanggungjawab menjalankan tugas rasmi jika menteri besar bercuti seperti merasmikan masjid dan tugas lain yang ada kaitan dengan Islam," katanya pada sidang media bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ramli Mahmud, di sini, semalam.
Mohamad Munir bagaimanapun menegaskan, Menteri Besar Selangor baru yang akan dilantik dalam tempoh terdekat mestilah seorang Melayu yang beragama Islam seperti termaktub dalam Fasa 4, Perkara 53, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.
Setiausaha Agung PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dicadangkan menjadi Menteri Besar Selangor berikutan kejayaan PKR yang menang 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dlam pilihan raya umum lalu.
DAP yang menang 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dikatakan menuntut jawatan timbalan menteri besar dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pinang, Teng Chang Khim dan Adun Pandamaran, Ronnie Liu Thian Khim antara yang dicadangkan.
Menerusi kenyataan akhbar sebelum itu, Mohamad Munir, berkata pakatan parti pembangkang, Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas sudah mengesahkan persetujuan kepada Sultan Selangor untuk bergabung dan menubuhkan kerajaan negeri yang baru.
"Baginda telah berkenan dengan penggabungan ini dan akan memilih calon sesuai untuk dilantik Menteri Besar Selangor seperti yang diperuntukkan Bab 3, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959," katanya.
Beliau berkata, pelantikan Menteri Besar akan diumumkan dalam tempoh terdekat diikuti upacara angkat sumpah dan taat setia yang akan diadakan di Istana Bukit Kayangan di sini.