KUALA LUMPUR: Kalangan pemimpin Umno dan parti komponen Barisan Nasional (BN) serta pelbagai pertubuhan dan persatuan terus memberikan sokongan padu kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menerajui parti dan negara.
Di kalangan parti politik, MIC diketuai Presidennya, Datuk Seri S Samy Vellu tampil dengan keputusan sebulat suara menyokong sepenuhnya kepemimpinan Abdullah sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Najib Razak sebagai Timbalan Perdana Menteri.
“MIC juga akan bekerjasama sepenuhnya dengan kepimpinan BN untuk mengatasi sebarang masalah dan halangan semasa dan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-12 baru-baru ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC di ibu pejabat parti itu di sini, semalam.
Di KUCHING, semua 30 Ahli Parlimen yang mewakili parti komponen BN Sarawak akan menandatangani surat ikrar sokongan padu yang akan dihantar kepada Abdullah supaya beliau terus menerajui negara sebagai Perdana Menteri dan Najib sebagai timbalannya.
Keputusan itu diputuskan pada Mesyuarat BN Sarawak di Ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) malam kelmarin, yang dipengerusikan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, selaku Pengerusi BN negeri.
Sementara itu Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) turut menyatakan sokongan padu kepada kepemimpinan Abdullah.
Presidennya, Senator Datuk Roslan Awang Chik, berkata PKMM tetap memberi sokongan tidak berbelah bahagi.
Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia pula dalam suratnya kepada Abdullah bagi menyatakan sokongan menyatakan kesediaan persatuan memberikan sumbangan dan kerjasama kepada kerajaan.
Sokongan padu turut disuarakan Koperasi Belia Nasional Berhad (Kobena) yang menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Perdana Menteri.
Pengerusinya, Datuk Ibrahim Mat Din, berkata pihaknya bersedia membantu kepemimpinan Abdullah bagi memastikan negara akan terus berada dalam keadaan aman dan makmur.