|


Sarawak tidak lobi tambah menteri
Oleh Misiah Taib

Terserah kepada PM buat pertimbangan beri lebih kerusi kepada wakil Bumi Kenyalang: Taib

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, berkata beliau tidak akan melobi untuk mendapatkan lebih banyak kerusi dalam Kabinet walaupun Sarawak penyumbang terbesar untuk kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya lalu.

Beliau yang juga Pengerusi BN negeri dan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, beliau bukanlah jenis orang yang suka melobi dan tidak sekali-kali akan berbuat demikian.

“Biarlah Perdana Menteri yang menentukan segala-galanya kerana ia adalah kuasa beliau. Kita serah kepada budi bicara beliau.

“Kita dalam BN akur kepada keputusan pucuk kepemimpinan dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tahu perasaan rakyat Sarawak. Saya yakin beliau akan mengambil kira perkara itu dalam membuat pertimbangan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat BN Sarawak di Ibu pejabat PBB di sini, malam kelmarin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan sama ada BN Sarawak akan meminta lebih banyak kerusi Kabinet berikutan kecemerlangan pada pilihan raya lalu dan 11 pilihan raya terdahulu.

Berita Harian kelmarin melaporkan permintaan beberapa pemimpin dan penganalisis politik supaya Sarawak diberi lebih banyak suara dalam Kabinet, termasuk Menteri mewakili kaum Dayak, disebabkan sumbangan terbesar negeri itu iaitu 21.4 peratus daripada keseluruhan kemenangan BN pada pilihan raya kali ini.

Sebelum pembubaran Parlimen pada 13 Februari lalu, Sarawak hanya ada seorang Menteri iaitu Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Peter Chin Fah Kui, selain Datuk Seri Effendi Norwawi yang dilantik sebagai Senator.

Sarawak juga mendapat empat jawatan Timbalan Menteri dan dua Setiausaha Parlimen.

Jawatan Timbalan Menteri membabitkan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Dr Tiki Lafe; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Douglas Uggah Embas; Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Joseph Salang Gandum dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Robert Lau Hoi Chew.

Dua Setiausaha Parlimen adalah Datuk Yong Khoon Seng di Stampin dan Datuk Rohani Abdul Karim di Batang Lupar. Semua Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen dari Sarawak menang besar dan berjaya mempertahankan kerusi masing-masing pada pilihan raya umum lalu.

BN Sarawak pernah mendapat tiga jawatan Menteri Kabinet dalam satu-satu masa ketika negeri ini hanya mempunyai 28 kerusi Parlimen. Tiga kerusi Parlimen baru - Sibuti, Limbang dan Igan, baru dipertandingkan pada pilihan raya umum kali ini.

Artikel lain: