KUANTAN: Satu-satunya calon Bebas yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang, Ho Yip Kap, semalam, mengemukakan permohonan untuk kembali ke pangkuan MCA selepas mengisytiharkan keluar dari parti itu, 22 Februari lalu.
Pengerusi MCA Pahang, Datuk Hoh Khai Mun, berkata Ho yang juga bekas ahli MCA sudah mengisi borang menyertai semula parti itu tetapi kemasukannya akan ditentukan oleh MCA Pusat.
"MCA Pahang secara rasminya sudah menerima borang keahlian dan surat permohonan Ho, tapi MCA Pusat yang akan membuat keputusan rasmi.
“Permohonan Ho juga sudah dimaklumkan kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan dipersetujui dan MCA juga tidak mengenakan sebarang syarat kepada Ho untuk kembali ke pangkuan MCA," katanya pada sidang media di sini, semalam.
Pada Pilihan Raya Umum ke-12, Sabtu lalu, Ho, 66, yang bertanding atas tiket Bebas memenangi kerusi DUN Tanah Rata dengan memperoleh 3,926 undi bagi menewaskan calon BN, Chai Kok Lim yang mendapat 3,351 undi dan calon DAP, Goh Mong Nging (2,043 undi).
Ditanya sama ada tindakan Ho membelakangkan parti sebelum ini dengan bertanding atas tiket Bebas boleh memberi kesan jangka panjang, Hoh berkata, beliau tidak bimbang ia menjadi satu ikutan pada masa depan.
"Bersama borang permohonan ini, Ho turut menyertakan surat permohonan maaf dan seperti yang saya katakan sebelum ini, kawasan Cameron Highlands agak istimewa kerana ia bukan saja kawasan pertanian tetapi juga penting untuk pelancongan.