|


Adun kena kerja kuat bantu rakyat

MELAKA: Sepuluh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakub di Pejabat Istana Negeri semalam diingatkan sentiasa bekerja kuat membantu rakyat selain berganding bahu mencapai wawasan negeri maju 2010.

Di samping itu, seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) lain di Melaka yang tidak terpilih kali ini, mereka mesti rajin turun padang untuk mendengar sendiri masalah rakyat dan memaklumkannya kepada pucuk pimpinan.

Ketua Menteri, Datuk Mohd Ali Rustam berkata beliau akan memantau prestasi semua Exco bagi memastikan mereka melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan dan memenuhi aspirasi rakyat.

Katanya, sebagai membuktikan BN serius memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar, kerajaan memberi tempoh setahun kepada barisan Exco yang digelar Pasukan Melaka Maju 2010 itu membuktikan kemampuan mereka sebelum penilaian semula sama ada diteruskan atau diganti.

“Semua wakil rakyat akan turun padang, dengar masalah rakyat dan selepas itu maklumkan kepada kita. Jangan simpan sebarang masalah rakyat dalam laci...mesti disampaikan kepada Ketua Menteri untuk dibincang dan kemudian diputuskan,” katanya selepas majlis angkat sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri semalam.

Hadir sama Isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Zurina Kassim; Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Asmah Abd Rahman; Pengerusi MCA negeri, Datuk Seri Dr Fong Chan Onn dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Ismail Salleh.

Dalam pada itu, Mohd Ali berkata pelantikan barisan Exco kali ini adalah berasaskan status quo selepas pilihan raya 2004 iaitu Umno diwakili lapan Adun termasuk beliau, manakala MCA dan MIC masing-masing dua dan satu.

Beliau turut mengumumkan rombakan lima daripada 10 portfolio selaras wawasan memastikan ia benar-benar memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat.

Katanya, sebarang perubahan kemungkinan akan berlaku dalam tempoh terdekat, bergantung kepada portfolio yang bakal dibentuk Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada peringkat Kabinet bagi disesuaikan dengan keperluan.

Artikel lain: