|


Melaka lantik 7 muka baru
Oleh Amirullah Andi Nur, Badrul Hizar Ab Jabar dan Amir Mamat

Ketua Menteri kekalkan 3 Exco lama barisi kepemimpinan negeri

MELAKA: Tujuh muka baru Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dilantik semalam, berikrar membantu Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam untuk terus membela rakyat dan membangunkan negeri termasuk merealisasikan wawasan menjadikan Melaka berstatus maju pada 2010.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Latif Tamby Chik berjanji bekerja kuat bagi memajukan Melaka selaras hasrat kerajaan mencapai status negeri maju kurang dua tahun dari sekarang.

“Saya yakin dapat memikul tanggungjawab ini dengan berkesan menerusi pelbagai cara termasuk menyumbangkan idea bernas bagi memastikan semua pihak berkuasa tempatan memainkan fungsi masing-masing disamping memulihara alam sekitar negeri ini,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pembangunan Pekan Kecil dan Pemulihan Projek negeri dan Timbalan Ketua Umno Alor Gajah, Datuk Abdul Ghaafar Atan berjanji melakukan yang terbaik bagi memastikan harapan rakyat melihat beberapa projek terbengkalai dibangunkan semula secepat mungkin.

“Bagi memastikan usaha ini berjalan lancar, saya memohon kerjasama semua pihak termasuk jabatan dan agensi terbabit,” katanya.

Nada sama turut dinyatakan Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan yang dilantik Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri.

“Saya berazam memajukan sektor pertanian hingga ke tahap terbaik bagi membantu ekonomi petani di negeri ini selaras wawasan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahukan bidang ini diberi tumpuan dalam pembangunan di setiap negeri,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita dan Kesihatan, Norpipah Abdol berkata beliau akan menggunakan pengalamannya selama 20 tahun dalam politik untuk berkhidmat sebagai Exco yang berkesan.

“Saya berikrar memberikan yang terbaik termasuk aspek kesihatan dan kebajikan wanita bagi memastikan rakyat memberikan kemenangan kepada BN dalam pilihan raya Sabtu lalu sentiasa mendapat pembelaan,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Seet Har Cheow menyifatkan pelantikannya sebagai satu amanah berat yang memerlukan beliau bekerja keras kerana sektor pelancongan adalah sumber utama negeri.

“Saya berharap semua pihak memberi kerjasama bagi melaksanakan visi mewujudkan Melaka sebagai negeri pelancongan terunggul di rantau ini. Sasaran menarik seramai 6.8 juta pelancong sepanjang tahun ini tidak mampu saya lakukan sendiri,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pengguna dan Pengangkutan, Perumal Raju berkata beliau akan sentiasa turun padang bagi mengetahui sendiri permasalahan rakyat dan mencari penyelesaian terbaik.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri, Gan Tian Loo pula akan menggunakan pengalaman dan pengetahuannya untuk melaksanakan tanggungjawabnya dengan berkesan.

Dalam pada itu, tiga muka lama yang dikekalkan adalah Datuk Yaakub Md Amin (Pelajaran, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia), Datuk Ab Karim Sulaiman (Kebajikan, Perpaduan, Belia dan Sukan) dan Datuk Md Yunos Husin (Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi) turut berikrar melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan berkesan.

Artikel lain: