KUALA LUMPUR: Pas menegaskan perjuangan parti itu untuk menubuhkan negara Islam tidak perlu lagi ditonjolkan sekarang sebaliknya tumpuan harus diberi kepada pelaksanaan manifesto Pilihan Raya Umum ke-12 yang bertemakan Menuju Negara Berkebajikan.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata manifesto parti itu adalah dasar yang terbaik dan boleh diterima semua kaum, manakala langkah menubuhkan negara Islam dianggap sudah difahami semua kaum.
“Kita menganggap (usaha Pas menubuhkan) negara Islam sudah difahami semua (kaum) kerana sudah lama (dinyatakan) dan kita sudah melaksanakannya melalui pentadbiran kita di Kelantan dan itu tidak perlu tonjolkan.
“(Sekarang) kita tekankan negara berkebajikan kerana ia dasar terbaik diterima semua kaum,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat di Ibu Pejabat Pas di sini, semalam.
Beliau ditanya sama ada Pas menekankan kepada dasar negara berkebajikan di lima negeri yang dikuasai barisan pembangkang pada pilihan raya umum yang berakhir Sabtu lalu dengan menyaksikan parti itu mendapat undi daripada pengundi bukan Islam.
Pada pilihan raya itu, pakatan pembangkang dianggotai DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas menguasai lima negeri iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.
Ditanya Pas akan melaksanakan hukum hudud di Kedah, Abdul Hadi berkata, beliau tidak pernah membuat kenyataan mengenai Pas mahu melaksanakan hukum itu dengan segera di negeri itu sebaliknya menyifatkan kenyataan itu satu penyelewengan oleh media.
“Saya tidak buat kenyataan itu. Hudud tak ada dalam kenyataan (saya) nak dilaksanakan serta merta (di Kedah)...itu tidak betul.
“Dalam hal ini, saya minta dijemput oleh RTM dan TV3 untuk siaran langsung berdialog mengenai bab hudud.
“Itu (hukum hudud) peringkat perundangan, perbincangan. Di Terengganu ketika kita perintah, berapa orang kena kerat tangan,” katanya.
Ditanya Pas ada berbincang dengan PKR dan DAP dalam konteks untuk bekerjasama di lima negeri itu, beliau berkata, setakat ini kerjasama parti itu hanya dengan PKR.
“Kita tiada pertemuan dengan DAP, (tapi) PKR ada pertemuan dengan DAP,” katanya.
Mengenai PKR menjadi orang tengah kepada Pas untuk berhubung dengan DAP, beliau berkata: “PKR bukan orang tengah, tapi sebagai wakil kita.”