ALOR STAR: Sepuluh anggota Exco Kerajaan Kedah mengangkat sumpah di hadapan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di Wisma Darulaman, semalam, tanpa wakil DAP.
Daripada 10 anggota Exco itu, tujuh daripada Pas dan tiga wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Bagaimanapun, barisan Exco baru Kerajaan Pas Kedah hanya mempunyai seorang wakil kaum Cina berbanding dua ketika di bawah Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
Ketika BN memerintah, dua Exco wakil Cina ialah Datuk Chong Itt Chew dari MCA dan Datuk Fong Chok Gin (Gerakan). Kedua-duanya tewas dalam pilihan raya lalu.
Tujuh Exco Pas yang mengangkat sumpah semalam ialah Amiruddin Hamzah (Anak Bukit); Taulan Rasul (Tokai); Phahrolrazi Zawawi (Pengkalan Kundor); Aishah Ghazali (Merbau Pulas); Dr Hamdan Khalib (Tanjung Dawai); Dr Ismail Salleh (Alor Mengkudu) dan Abdullah Jusoh (Pantai Merdeka).
Sementara itu tiga wakil PKR ialah V Arumugam (Bukit Selambau); Tan Wei Su (Bakar Arang) dan Mohd Radzi Saleh (Lunas).
Pas yang mengetuai kerajaan hanya mengumumkan kerajaan negeri adalah gabungan antara parti itu dan PKR.
Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa sebelum ini dilaporkan berkata parti itu bersetuju melantik wakil tunggal DAP, Lee Guan Aik (Kota Darulaman), untuk jawatan Exco.
Bagaimanapun, semalam, Pengerusi Perhubungan PKR Kedah, Zamri Yusof, berkata pihaknya menyerahkan tiga nama kepada Menteri Besar, Azizan Abd Razak, bagi dilantik sebagai anggota Exco tanpa nama Lee.
"Bagaimanapun, Lee mungkin dipertimbangkan untuk jawatan lain seperti ahli majlis kerajaan tempatan selepas ini.
"Kenyataan Datuk Husam melantik wakil DAP itu jika kerajaan bersetuju menambah bilangan ahli Exco kepada 11, tetapi selepas dikekalkan 10 maka wakil DAP tidak ada dalam senarai," katanya ketika dihubungi.