|


Pas tak setuju batal dasar nasional

KUALA LUMPUR: Pas mula tidak sependapat dengan DAP berhubung isu pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) apabila parti itu tidak bersetuju dasar itu dibatalkan secara menyeluruh tanpa melihat kebaikannya.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata amalan baik dalam dasar berkenaan perlu diteruskan bagi menjamin kebajikan orang Melayu terus terbela sedangkan DAP mendakwa DEB yang menjadi punca kronisme, rasuah dan nepotisme perlu dihapuskan.

Beliau mengakui DEB adalah dasar nasional yang memberi penekanan terhadap pembelaan orang Melayu yang dibelenggu kemiskinan dan ketinggalan daripada arus pembangunan.

“Kita tidak akan batal (DEB), kita batalkan apa yang negatif, yang salah. Banyak aspek dalam DEB yang baik dan boleh dilaksanakan.

“Kegagalan dasar itu ialah kerana penyelewengan Umno antaranya, amalan rasuah, pilih kasih...bukan orang Melayu yang terbela tapi Umno yang terbela, bahkan apa yang diberi kepada Umno ‘dialibabakan’,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat, di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semalam bahawa kerajaan negeri hasil gabungan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan membebaskan pentadbiran Pulau Pinang daripada pelaksanaan amalan DEB.

Artikel lain: