|


Ramai kesal DAP hapus DEB di Pulau Pinang
Oleh Norfatimah Ahmad dan Saufi Hamzah

Keputusan Guan Eng gugat perpaduan, bercanggah Perlembagaan

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak kecewa dan bimbang perpaduan rakyat negara ini tergugat berikutan keputusan memansuhkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dalam sistem pentadbiran lima negeri yang dikuasai gabungan pembangkang - DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pengumuman Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, kelmarin menimbulkan tanda tanya bukan saja di kalangan pengundi di negeri itu, malah seluruh negara yang sudah sebati dengan dasar yang dilaksanakan selama 20 tahun, bermula 1971.

Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata keputusan itu sebenarnya adalah dasar yang diperjuangkan DAP selama ini dan sebab itulah ia diumumkan sebaik dipilih untuk membentuk kerajaan baru.

“Mahu tak mahu, rakyat perlu terima apa juga yang menjadi dasar pakatan pembangkang itu kerana selama ini pun DAP sudah memaklumkan yang mereka tidak menyokong DEB.

“Kini, nasib orang Melayu terutama di Pulau Pinang akan lebih terumbang-ambing dan tidak akan diberi perhatian lagi, malah masa depan mereka juga tidak jelas. Bagaimanapun, pada hakikatnya mereka perlu terima sebarang risiko yang bakal dihadapi selepas pengundi sendiri memilih untuk berubah dan kita seharusnya menghormati pilihan rakyat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu yang terkejut dengan tindakan pembangkang untuk menghapuskan DEB, padahal dasar itu sendiri sudah lama ditamatkan.

“Saya terkejut dengan sikap mereka (pembangkang). DEB tak ada lagi dah, sekarang kerajaan sudah melaksanakan pelan pembangunan baru. Saya tak tahu bagaimana mereka tidak sedar hakikat ini... mungkin mereka tidak faham,” katanya.

Samy Vellu, berkata sebelum ini pun, kerajaan BN berusaha melaksanakan pelbagai program untuk manfaat rakyat berbilang kaum, bukan menyingkirkan mana-mana kaum.

Penasihat Badan Bertindak Pelaksanaan Negara (NITF), Datuk Dr Zainal Aznam Yusof pula, berkata DAP perlu menjelaskan sama ada mereka menolak sepenuhnya DEB, atau sekadar pendekatannya.

“Kesaksamaan dan keadilan untuk semua kaum seperti dinyatakan DAP memang baik jika dapat dilaksanakan, bagaimanapun ia bukan sesuatu yang mudah.

“Cadangan itu juga bercanggah dengan Perkara 151 Perlembagaan Persekutuan mengenai hak istimewa orang Melayu. Jika mereka batalkan terus DEB, bermakna pembangkang tidak mengiktiraf Perlembagaan,” katanya.

Tokoh akademik dan sejarawan, Datuk Prof Khoo Kay Kim bimbang kenyataan pembangkang berkaitan isu sensitif antara kaum boleh menimbulkan keadaan yang tidak menyenangkan di kalangan rakyat berbilang kaum negara ini.

“Kenapa mereka nak jadi wira hanya untuk mendapat sokongan sebaik mendapat kuasa dan seharusnya perkara ini dibawa berbincang untuk mencari penyelesaian bagi mengelak timbul kemarahan golongan tertentu.

“Perkara inilah yang saya takut... apa guna jika menang dalam pilihan raya dan kemudian timbul pula masalah,” katanya.

Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia, Senator Datuk Roslan Awang Chik pula berpendapat pendekatan baru DAP itu boleh membawa padah kepada rakyat dan negeri itu.

“Jika nak dikatakan DEB yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini tidak adil dan tidak saksama, lihat sajalah siapa yang menikmati kekayaan dan faedah daripadanya. Walaupun tidak nampak ia satu pendekatan yang anti Melayu atau Bumiputera, bagaimanapun ia akan membawa semangat dan mewujudkan suasana tidak harmoni dalam masyarakat,” katanya.

Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Pulau Pinang, Rizal Faris Mohideen Abdul Kadir, berkata tidak seharusnya ada kompromi agenda Melayu dan perlu ada kesinambungan menawarkan peluang perniagaan kepada orang Melayu.

Artikel lain: