BUTTERWORTH: Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang menyifatkan tindakan kerajaan baru Pulau Pinang mewujudkan dua jawatan timbalan ketua menteri sebagai tanda memperkecilkan peranan dan penyertaan orang Melayu.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Abdul Rashid Abdullah, berkata tindakan itu amat jelas menidakkan orang Melayu sebagai kaum yang kedua terbesar di Pulau Pinang.
Katanya, keputusan kerajaan negeri itu adalah senario baru bagi politik di Pulau Pinang kerana jawatan dua timbalan ketua menteri tidak termaktub di dalam Perlembagaan.
"Ia menunjukkan berlaku layanan yang tidak betul kepada orang Melayu selaku penduduk kedua paling ramai di negeri ini," katanya ketika dihubungi, semalam.
Ketua Menteri, Lim Guan Eng, semalam, mengumumkan pelantikan dua timbalan ketua menteri untuk membantu tugas mentadbir negeri ini.