KOTA BHARU: Kemasukan tiga muka baru, termasuk seorang wanita dijangka menyaksikan perubahan besar dalam barisan kepemimpinan Pas Kelantan yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), malam kelmarin.
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengetuai Kerajaan Pas Kelantan bagi penggal kelima, hanya mengekalkan Adun Pasir Pekan, Datuk Ahmad Yakob, sebagai timbalannya, tetapi kedudukan semua portfolio lain belum diumumkan.
Tiga muka baru terbabit ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijang yang menang tanpa bertanding, Wan Ubaidah Omar; Adun Wakaf Bharu, Che Abdullah Mat Nawi dan Adun Temangan, Dr Mohd Fadhli Hassan.
Tiga Exco yang digugurkan pula ialah Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian dan Sumber Manusia, Zulkifli Mamat (Pulai Chondong); Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam dan Dakwah, Hassan Mahmood (Tawang) dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Desa, Dr Nik Mazian Mohamed (Gaal).
Sumber Pas berkata, pelantikan Wan Ubaidah mencipta sejarah pentadbiran Pas Kelantan kerana buat kali pertama dalam tempoh 18 tahun seorang Adun wanita dilantik sebagai Exco.
Katanya, pelantikan itu dijangka menyaksikan portfolio Pembangunan Wanita akan dipisahkan daripada Belia dan Sukan yang sebelum ini diketuai Exco lelaki.
Katanya, perubahan besar pentadbiran Pas Kelantan dalam agihan portfolio itu dijangka membabitkan Exco Kanan seperti Datuk Husam Musa dan Datuk Takiyuddin Hassan.
"Husam yang sebelum ini mengetuai Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, dijangka bertukar ke portfolio lain, sesuai dengan kedudukannya sebagai Naib Presiden Pas Pusat.
"Tempat Husam dijangka diambil alih Takiyuddin yang sebelum ini mengetuai Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan," katanya di sini, semalam.
Husam ketika dihubungi, enggan memberi sebarang ulasan mengenai rombakan portfolio itu, sebaliknya meminta dirujuk kepada Nik Abdul Aziz, manakala Takiyuddin tidak dapat dihubungi.