|


Pulau Pinang wujud dua timbalan ketua menteri

GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang mewujudkan dua jawatan timbalan ketua menteri bagi memberi perkhidmatan yang berkesan kepada semua kaum di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti, Muhammad Fairus Khairuddin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri I, manakala Adun Prai, Prof Dr P Ramasamy menjadi Timbalan Ketua Menteri II mewakili DAP.

Ini kali pertama Pulau Pinang mempunyai dua timbalan ketua menteri. Sebelum ini hanya seorang timbalan ketua menteri dan secara tradisinya diwakili Umno kerana negeri ini berada di bawah pimpinan Gerakan.

Mereka dijadual mengangkat sumpah jawatan bersama lapan lagi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang lain di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas, hari ini.

Bagaimanapun, senarai nama Exco dan portfolio masing-masing belum diumumkan. Pas yang mempunyai calon tunggal Pas tidak diberikan jawatan Exco dalam kerajaan campuran itu.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng, berkata selain jawatan timbalan ketua menteri, DAP dan PKR masing-masing diperuntukkan enam dan dua kerusi Exco, manakala jawatan Speaker dan Timbalan Speaker DUN diperuntukkan kepada PKR.

"Kami mencapai persetujuan dari segi pengagihan kerusi Exco, Speaker dan Timbalan Speaker. Pengagihan kerusi Exco ialah tujuh bagi DAP dan tiga untuk PKR,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini, semalam.

Hadir sama, Muhammad Fairus, Ramasamy serta Adun dan Ahli Parlimen DAP dan PKR Pulau Pinang.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12, DAP menang semua 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PKR menang sembilan daripada 16 kerusi yang ditandingi.

Berikutan itu, DAP dan PKR yang menang 28 daripada 40 kerusi DUN di Pulau Pinang bergabung untuk membentuk kerajaan campuran. Kerajaan itu mempunyai majoriti dua pertiga (majoriti dua pertiga ialah 27 kerusi).

Mengulas pelantikan dua timbalan ketua menteri, Guan Eng berkata, ia bertujuan membantu kerajaan mentadbir negeri ini bagi kepentingan semua rakyat tanpa mengira kaum.

Katanya, ia adalah keputusan tepat dan betul kerana mereka dapat mewakili parti masing-masing serta rakyat negeri ini.

Ditanya adakah beliau mengekalkan portfolio sedia ada, Guan Eng berkata, mungkin ada perubahan.

Mengenai calon tunggal Pas, Mohd Hamdan Abdul Rahman, yang tidak diberikan jawatan Exco, beliau berkata, kerajaan yang ditubuhkan adalah campuran DAP dan PKR.

Sambil menjelaskan wakil Pas boleh membantu kerajaan negeri, beliau berkata, pihaknya juga akan berbuat sesuatu mengenai perkara itu.

Mengenai calon Speaker dan Timbalan Speaker DUN, Guan Eng berkata, ia akan diputuskan oleh PKR.

Sementara itu di GEORGETOWN, mengulas pelantikan itu, Muhammad Fairus berkata, beliau akan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Pulau Pinang, bukan hanya untuk satu kaum saja.

"Ini budaya politik baru, ingin membina Malaysia baru dan harapan baru supaya semua masyarakat dapat hidup harmoni. Kita akan memperkukuhkan ekonomi dan kesamarataan hak kepada semua rakyat.

"Saya dengan rendah diri menyatakan komitmen untuk berkhidmat kepada semua rakyat Pulau Pinang," katanya yang berbesar hati kerana diberi kepercayaan untuk memikul amanah itu.

Sementara itu, Ramasamy berkata beliau tidak akan menghampakan harapan dan kepercayaan yang diberikan rakyat sehingga membolehkan DAP dan PKR membentuk kerajaan baru di negeri ini.

Sambil menyifatkan pelantikan timbalan ketua menteri itu sebagai menggambarkan hasrat rakyat, beliau berkata, perkara sama patut dicontohi negeri lain.

"Ia memberikan teladan kepada negeri lain iaitu semua kaum perlu diwakili dan saya rasa pakatan ini mencerminkan hasrat itu,” katanya.

Artikel lain: