|


MB Perak sanggah kebimbangan DAP
Oleh Shamsul Kamal Amarudin dan Mohd Feroz Abu Bakar

IPOH: Kerajaan campuran di Perak tidak akan memberi keistimewaan kepada kaum tertentu dalam pelaksanaan dasarnya, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Panjang, Mohamad Nizar Jamaluddin yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar, hari ini.

Beliau berkata, ia adalah selaras dengan prinsip Islam yang menyatakan semua manusia adalah sama di sisi Tuhan.

Justeru, katanya, pelaksanaan sebarang dasar di negeri ini akan mengambil kira kepentingan semua kaum bagi memastikan semua rakyat mendapat pembelaan.

“Saya ingin memberitahu rakyat bahawa jangan berasa takut dan bimbang disebabkan kerajaan negeri diketuai oleh wakil Pas dan berharap tiada rasa ketidakselesaan di kalangan kaum tertentu.

“Kita bukan menyekat atau meminggirkan mana-mana komuniti kerana segala keputusan adalah secara kolektif antara Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP," katanya pada sidang media di pejabat Badan Perhubungan Pas Perak di sini, semalam.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam memetik kenyataan Setiausaha Publisiti DAP Pusat, Teresa Kok, sebagai berkata parti itu kurang selesa bekerja sama dengan Pas kerana menerima tekanan daripada penyokong bukan Islam.

Beliau dilaporkan berkata, DAP bukan saja berasa tidak selesa, malah menerima tekanan daripada penyokong bukan Islam kerana mereka bimbang wakil Pas menjadi Menteri Besar di Perak.

Mohamad Nizar juga meminta penyokong ketiga-tiga parti agar bertenang dan menangguhkan sebarang usaha untuk mengadakan perarakan atau majlis secara besar-besaran bagi meraikan penubuhan kerajaan negeri yang baru ekoran pelantikan beliau sebagai Menteri Besar.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang masih berhasrat berbuat demikian dinasihatkan agar mengadakannya secara kecil-kecilan di kawasan masing-masing.

“Kami harap pelantikan ini sekali gus menghilangkan perasaan ragu-ragu, syak wasangka serta khabar angin yang tersebar di kalangan penduduk negeri ini sejak tiga empat hari lalu,” katanya.

Mohammad Nizar berkata, PKR dan DAP sendiri sudah berikrar untuk bekerjasama dan mematuhi sebarang keputusan yang dibuat oleh Sultan Perak berhubung pelantikan Menteri Besar.

"Ini kerajaan campuran tiga parti yang kita panggil barisan rakyat. Oleh itu, saya berharap semua pihak bertenang dan tidak melakukan sebarang perbuatan yang tidak diingini bagi memastikan peralihan kuasa ini dapat berjalan dengan licin.

“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada agensi keselamatan yang telah membantu mengawal bangunan kerajaan penting di negeri ini dalam tempoh tiga empat hari ini," katanya.

Artikel lain: