Enam Exco kerajaan negeri sedia ada dijangka dikekalkan
JOHOR BAHRU: Sultan Johor memberi perkenan kepada Datuk Abdul Ghani Othman untuk mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar bagi penggal keempat berturut-turut berikutan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke - 12, Sabtu lalu.
Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Abdul Latiff Yusof ketika dihubungi Berita Harian, berkata Abdul Ghani sudah menghadap Sultan Johor semalam dan beliau diberi perkenan untuk mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar.
"Tuanku sudah memberi perkenan kepada Abdul Ghani untuk mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar seperti yang dicadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
“Majlis berkenaan akan diadakan pada petang Sabtu ini, di Istana Besar," katanya di sini, semalam.
Majlis angkat sumpah Abdul Ghani sebagai Menteri Besar turut disertai barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang baru.
Kini ada empat kekosongan jawatan Exco yang perlu diisi, iaitu dua untuk Umno dan masing-masing satu untuk MIC dan MCA apabila bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Datuk Samat Aripin, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Alam Sekitar, Freddie Long Hoo Hin serta Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk K S Balakrishnan tidak bertanding pada pilihan raya umum lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Datuk Halimah Mohamed Shadique pula berpindah ke Parlimen Tenggara dan menang pada pilihan raya lalu.
Difahamkan, antara yang dijangka menyertai barisan Exco adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor Lama, Asiah Ariff; Rasman Ithnain (Sedili); M Munusamy (Permas); Hoo Seong Chang (Paloh) dan Datuk Samsol Bari Jamali (Semarang).
Enam Exco kerajaan negeri sedia ada iaitu Ahmad Zahri Jamil, Datuk Baderi Dasuki, Aziz Kaprawi, Tan Kok Hong, Zainal Abidin Osman dan Dr Robia Kosai dijangka dikekalkan.
Abdul Ghani mula memimpin Johor sebagai Menteri Besar sejak 1995 selepas mengambil alih kepemimpinan kerajaan negeri daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ini menjadikan beliau menyamai rekod Datuk Osman Saad yang menjadi Menteri Besar selama empat penggal.
Pada pilihan raya umum lalu, BN Johor mengekalkan majoriti dua pertiga apabila menang 50 kerusi Dewan Undangan Negeri dan 25 kerusi Parlimen.
BN hilang kerusi DUN Sungai Abong dan Maharani, Muar kepada Pas manakala empat kerusi lagi di DUN Bentayan, Mengkibol, Senai dan Skudai serta Parlimen Bakri kepada DAP.