|


Adun digesa usah tunggu saat akhir

KUALA PILAH: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman mahu semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di negeri itu berdamping rapat dengan turun ke padang bagi menyelesaikan masalah rakyat peringkat akar umbi dan bukan pada saat akhir pilihan raya.

"Usaha itu hendaklah bermula daripada sekarang dan bukannya saat akhir untuk pilihan raya. Lebih-lebih lagi dalam keadaan politik tanah air masa kini," titah baginda ketika majlis Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai Menteri Besar di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, dekat sini, semalam.

Turut berangkat Tuanku Ampuan Negeri Sembilan, Tuanku Najihah Tunku Besar Burhanuddin; Datuk Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin, isteri Mohamad, Raja Datin Seri Salbiah Tunku Nujumudin serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Norzam Mohd Nor.

Mohamad, 52, yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada pilihan raya umum lalu terus diberi kepercayaan menerajui negeri ini buat penggal kedua berturut-turut.

Tuanku Ja'afar juga bertitah semua Adun memberi sokongan padu kepada Menteri Besar supaya dapat menggembleng tenaga dan buah fikiran untuk memakmurkan negeri ini.

"Kepada Adun pembangkang, jadilah pembangkang berwibawa dengan mengemukakan hujah dengan berhemah dan membangunkan negeri ini untuk kebaikan semua," titahnya.

Tuanku Ja'afar bertitah baginda mahu melihat dalam tempoh lima tahun akan datang akan memperlihatkan pembangunan yang lebih pesat semata-mata untuk kepentingan dan keselesaan rakyat.

"Menteri Besar berjaya membawa pembangunan yang signifikan dan memberi impak besar dari segi ekonomi, prasarana dan sosial,” katanya.

Artikel lain: