PEKAN: Datuk Seri Adnan Yaakob semalam mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Pahang bagi penggal ketiga di hadapan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, di Istana Abu Bakar, di sini.
Watikah cara pelantikan sebagai Menteri Besar diserahkan kepada Adnan, 58, jam 11.25 pagi, dengan disaksikan Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan semua wakil rakyat Pahang yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-12, Sabtu lalu.
Pelantikan Adnan sebagai Menteri Besar adalah bagi penggal ketiga selepas mula memegang jawatan itu pada 25 Mei 1999 menggantikan Tun Khalil Yaakob, yang kini Yang Dipertua Negeri Melaka dan Adnan meneruskan jawatannya untuk penggal kedua pada 27 Mac 2004.
Pada pilihan raya Sabtu lalu, Adnan berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai apabila menewaskan calon Pas, Hamdan Ahmad dengan majoriti 2,970 undi.
Adnan yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, mula bertanding di DUN Pelangai sejak 1986 dan berjaya mempertahankan kemenangannya sehingga sekarang.
Bagaimanapun, usaha media untuk menemu bual Adnan selepas majlis itu, gagal apabila beliau bersama isterinya, Datin Seri Junaini Kassim, bergegas meninggalkan Istana Abu Bakar sebaik keberangkatan pulang Sultan Pahang, Sultanah Pahang dan Tengku Mahkota Pahang.
Difahamkan, Adnan enggan bertemu media berikutan tersinggung dengan dua laporan berita sebuah akhbar tabloid harian yang disiarkan di muka depan keluarannya, kelmarin dan semalam.
Adnan dikatakan terkilan kerana perkataan yang disiarkan dalam akhbar berkenaan bukan yang diucapkannya ketika mengadakan sidang media di Bentong, awal pagi Ahad lalu, mengenai keupayaan pembangkang di Pahang dalam menunaikan janji manifesto mereka.
Sementara itu, pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pahang pula akan diadakan di Istana Abu Bakar, pada jam 10 pagi ini.
Sultan Pahang turut berkenan menyampaikan watikah pelantikan itu dan difahamkan senarai barisan Exco Pahang tidak banyak berubah kali ini.
Adnan bagaimanapun, sebelum ini ada membayangkan bahawa barisan Exco terdahulu tidak semestinya kekal dalam jawatan itu selepas pembentukan kerajaan negeri dilakukan.
Semua 10 barisan Exco Pahang sesi lalu berjaya memenangi kerusi DUN masing-masing, iaitu Datuk Tan Mohd Aminuddin Ishak (Chenor), Datuk Shahirudin Ab Moin (Dong), Datuk Maznah Mazlan (Muadzam Shah), Datuk Ahmad Munawar Abdul Jalil (Luit), Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail (Pulau Tawar), Datuk Hoh Khai Mun (Bilut) dan Datuk Fong Koong Fuee (Cheka).
Selain itu, Datuk Ishak Muhamad (Bebar), Datuk Mohd Sharkar Shamsudin (Lanchang) dan Datuk Mohd Soffi Abdul Razak.
Pada pilihan raya Sabtu lalu, BN Pahang berjaya memperoleh mandat dua pertiga apabila menang di 37 daripada 42 kerusi DUN yang dipertandingkan.