|


Guan Eng diberi amaran jangan cetus ketegangan

PM pertahankan DEB tak pernah 'memiskinkan' mana-mana kaum

PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam memberi amaran kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, supaya tidak membuat kenyataan yang boleh menyemarakkan ketegangan kaum.

Perdana Menteri memberi amaran itu ketika mengulas kenyataan Lim bahawa kerajaan baru Pulau Pinang pimpinan DAP tidak akan mengamalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Lim selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang kelmarin, berkata, DEB yang diperkenalkan pada 1971 selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969 untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat, adalah punca kepada 'kronisme, rasuah dan ketidakcekapan.'

Abdullah memberitahu Bernama selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan kerajaan di pejabatnya di sini.

DEB yang diperkenalkan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, sebenarnya berjaya meningkatkan pertumbuhan ekonomi yang memberi faedah kepada semua kaum.

"Saya ingin bertanya kepada DAP kaum manakah yang menjadi lebih miskin kerana DEB.

"Saya ingin juga memberi peringatan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang supaya jangan menimbulkan keadaan di mana ketegangan antara kaum boleh berlaku," tegas Abdullah yang juga Ketua Perhubungan Umno Pulau Pinang.

DEB yang pada prinsipnya berakhir pada 1991, mengandungi dasar affirmative untuk kaum Melayu dan Bumiputera bertunjangkan semangat kontrak sosial dan usaha untuk membaiki kedudukan ekonomi Bumiputera yang ketinggalan.

Perdana Menteri berkata, kerajaan baru negeri Pulau Pinang tidak harus meminggirkan orang Melayu, yang menjadi kaum minoriti di Pulau Pinang dan kumpulan minoriti lain seperti kaum India.

“Saya ingin bertanya kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng apakah rancangan DAP untuk membantu orang Melayu,” katanya.

Perdana Menteri memberi jaminan Kerajaan Persekutuan akan tetap membela golongan berpendapatan rendah dan akan teruskan bantuan khas kepada orang Melayu.

Lim dilantik sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang selepas DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) membentuk kerajaan campuran apabila menang dengan majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, Sabtu lalu.

DAP menang 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tujuh Parlimen, PKR (sembilan DUN, empat Parlimen) dan Pas (satu DUN), manakala BN (11 DUN, dua Parlimen). Pulau Pinang mempunyai 13 kerusi Parlimen dan 40 DUN.

Artikel lain: