KUALA LUMPUR: Datuk Seri S Samy Vellu berkata, beliau tidak mahu menjadi menteri menerusi tiket senator, tetapi akan terus kekal sebagai Presiden MIC.
Beliau yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Siput pada Pilihan Raya Umum ke-12, Sabtu lalu, berkata parti itu juga tidak akan meminta sebarang jawatan dalam Kabinet.
“Ini kuasa Perdana Menteri, saya tak boleh cadang apa, tak boleh buat apa-apa. Kita pasti serah nama, tapi tak minta jawatan. Saya cuma jelaskan siapa pemimpin kanan, siapa yang baru,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC di ibu pejabat parti itu di sini, semalam.
Mesyuarat pertama yang diadakan selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu itu, turut dihadiri Timbalan Presiden MIC, Datuk G Palanivel serta tiga Naib Presiden, Datuk S Sothinathan, Datuk S Veerasingam dan Tan Sri Dr K S Nijhar. Semuanya tewas dalam pilihan raya umum lalu, kecuali Nijhar yang tidak dicalonkan semula.
Samy Vellu yang menganggotai Kabinet selama 30 tahun, berkata terpulang kepada Perdana Menteri sama ada untuk melantik wakil MIC dalam jemaah Menteri.
Beliau berkata, MIC mengemukakan tiga nama – Setiausaha Agung yang juga Ahli Parlimen Segamat, Datuk Dr S Subramaniam, Ahli Parlimen Cameron Highlands, S K Devamany dan Ahli Parlimen Tapah, Datuk M Saravanan, untuk dipertimbangkan Perdana Menteri.
Samy Vellu yang sebelum ini memegang jawatan Menteri Kerja Raya, yakin beliau masih boleh memainkan peranan menyatupadukan masyarakat India kerana sudah 42 tahun bersama mereka.
“Saya tak mahu senator, saya tak mahu jadi menteri melalui senator, itu bukan hasrat saya.
Apabila saya dapat keputusan daripada pengundi di Sungai Siput, saya ucap terima kasih, saya terima perkara itu, saya tak mahu jadi senator, bukan saya, barangkali orang lain,” katanya.
Mengenai desakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan kaum India yang mahu beliau meletak jawatan, Samy Vellu berkata: “Biar mereka letak jawatan dulu, baru saya ikut.”
Presiden MIC itu juga berkata, beliau akan bergerak ke seluruh negara bagi memperkasakan serta memulihkan semula sokongan masyarakat India terhadap parti itu.
“Saya menjemput semua parti dan NGO berasaskan kaum India termasuk parti serpihan MIC, seperti Barisan Kemajuan India Malaysia (IPF) untuk kembali bersatu bagi memastikan MIC menjadi suara tunggal masyarakat India,” katanya.
Samy Vellu berkata, bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk S Subramaniam dalam pertemuan dengannya kelmarin, juga bersetuju untuk kembali aktif dalam MIC.
“Kita sudah lupa apa yang berlaku pada masa dulu. Kita nak mula sejarah baru, nak satukan semua persatuan dan NGO yang mewakili masyarakat India bersama MIC,” katanya sambil menambah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah dimaklumkan mengenai perkembangan itu.
Ditanya sama ada Subramaniam akan mempunyai jawatan apabila kembali ke pangkuan MIC, Samy Vellu berkata: “Sekarang belum lagi ada jawatan. Apabila beliau masuk nanti, apabila ada pemilihan, beliau boleh bertanding.”
Mengenai kekalahan teruk MIC pada pilihan raya umum lalu, beliau berkata: “Bukan MIC saja gagal, semua parti gagal, Umno pun gagal, MCA pun gagal, Gerakan pun gagal. Ia satu ombak baru yang memberi masalah kepada kita seperti 1969, barangkali 30 tahun selepas 1969, kita hadapi satu masalah seperti ini.”
Ditanya sama ada kekalahan itu mempunyai kaitan dengan kelewatan kerajaan memberi keputusan berhubung tuntutan Cuepacs bagi mendapatkan bonus untuk kakitangan awam, Samy Vellu berkata:
“Saya percaya pucuk pimpinan sudah memberi bonus dulu. Barangkali bonus ini lewatlah, bila lewat nanti panas.”
Beliau juga menyalahkan kerajaan yang didakwa lewat menyalurkan peruntukan untuk membantu masyarakat India, termasuk peniaga kecil, hingga menyebabkan pengundi India bertindak menyokong pembangkang.
Samy Vellu bagaimanapun berkata, MIC tidak akan menyertai pembangkang meskipun ramai calonnya tewas dalam pilihan raya umum, baru-baru ini.
“Walaupun isteri tak secantik dulu, kita masih tinggal bersama dia,” katanya.
Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, MIC hanya menang tiga daripada sembilan kerusi Parlimen dan tujuh daripada 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya, berbanding kemenangan 100 peratus pada 2004.