|


PM umum Kabinet minggu depan

PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, barisan Kabinet baru akan mengadakan mesyuaratnya yang pertama pada Rabu depan, membayangkan barisan jemaah menteri akan diumumkan seawal-awalnya Isnin ini.

Perdana Menteri berkata, beliau akan mengadakan perjumpaan dengan semua pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) bermula pagi ini sebelum memutuskan barisan itu.

Beliau yang ditemui Bernama pada mesyuarat dengan pegawai tinggi kerajaan di pejabatnya di sini, semalam, berkata Kabinet akan mencerminkan konsep perkongsian kuasa BN dan meliputi semua kaum.

Ditanya lebih lanjut mengenai perkara itu, beliau enggan mengulas dan sambil tersenyum menjawab: “Tunggulah beberapa hari lagi.”

Sejak beberapa hari lalu, ramai yang membuat spekulasi mengenai barisan Kabinet baru. Parti komponen BN difahamkan sedang memperincikan butirannya sebelum menyerahkan senarai mereka kepada Perdana Menteri.

Ramai didapati turut membuat spekulasi siapakah menteri yang akan dikekalkan Abdullah kerana Perdana Menteri sebelum ini menyatakan tidak semua menteri yang menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, Sabtu lalu, akan dilantik semula.

Tetapi berdasarkan sejumlah menteri dan timbalan menteri yang tewas dalam pilihan raya itu, Perdana Menteri perlu memilih mereka yang menang kerana calon berkenaan membuktikan mereka diterima rakyat.

BN memenangi 140 kerusi untuk memperoleh majoriti mudah dalam Parlimen, manakala parti pembangkang memperoleh 82 kerusi.

Walaupun Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting secara terbuka menyatakan yang beliau menolak jawatan Kabinet, keputusan muktamad masih di tangan Abdullah.

MCA memenangi 15 kerusi Parlimen daripada 40 yang ditandingi, manakala Gerakan hanya menawan dua daripada 12 kerusi. MIC memenangi tiga kerusi Parlimen.

Dalam pada itu, wujud desas-desus bahawa parti komponen BN dari Sabah dan Sarawak mungkin meminta lebih banyak perwakilan dalam Kabinet, setelah masing-masing memenangi 24 daripada 25 kerusi dan 30 daripada 31 kerusi yang ditandingi.

Artikel lain: