Kit Siang arah pulau majlis angkat sumpah kerajaan campuran Perak
PETALING JAYA: Pakatan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas yang membentuk kerajaan campuran di Perak, mula goyah apabila semua 18 ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP di negeri itu mahu memboikot majlis angkat sumpah jawatan Menteri Besar, petang ini.
Tindakan itu diambil berikutan keputusan Pemangku Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah, semalam, yang memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Panjang merangkap Setiausaha Perhubungan Pas negeri, Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, sebagai Menteri Besar Perak ke-10.
Pengerusi Suruhanjaya Perancangan Dasar dan Strategik DAP, Lim Kit Siang, dalam kenyataan yang disiarkan laman web DAP sejurus selepas pengumuman pelantikan Mohammad Nizar, berkata keputusan itu mencetuskan kejutan dan kemarahan pimpinan, ahli serta penyokong DAP.
Istana Kinta, malam tadi mengedarkan surat permohonan oleh ketiga-tiga parti berhubung perkara itu, selepas mendapat perkenan Sultan Perak.
Menurut jurucakap Istana, ia bertujuan menjelaskan pemilihan yang dibuat oleh Sultan Azlan adalah berdasarkan keputusan ketiga-tiga parti itu sendiri yang mencalonkan tiga nama untuk dipilih.
Surat bertarikh 11 Mac itu ditandatangani oleh Pengerusi DAP Perak merangkap Adun Sitiawan, Ngeh Koo Ham; Pesuruhjaya Pas Perak, Ahmad Awang; dan Pengerusi PKR Perak, Zulkifly Ibrahim.
Surat berkenaan memaklumkan kepada Sultan Perak mengenai persetujuan sebulat suara ketiga-tiga parti menubuhkan kerajaan campuran serta memohon perkenan baginda untuk melantik salah seorang daripada tiga calon yang disenaraikan.
Ketiga-tiga pemimpin parti itu turut memaklumkan dalam surat berkenaan mengenai kesediaan menerima dan memberi sokongan penuh kepada mana-mana calon yang diperkenankan oleh Sultan Azlan.
Kit Siang dalam kenyataannya, berkata Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP hanya memberi kelulusan bagi pembentukan sebuah kerajaan campuran parti pembangkang di Perak dengan diketuai DAP atau PKR.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, mesyuarat tergempar CEC di Pulau Pinang Ahad lalu, meluluskan penubuhan kerajaan campuran di Perak merangkumi 18 Adun DAP, tujuh PKR dan enam Pas.
“DAP bersedia menerima pelantikan Ngeh atau Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dari PKR sebagai Menteri Besar.
“Pelantikan Mohammad Nizar dari Pas, parti gabungan ketiga atau yang terkecil dalam komponen kerajaan campuran itu, tidak mendapat mandat dan restu CEC. Semua Adun DAP Perak akan memulaukan majlis angkat sumpah jawatan Menteri Besar,” katanya.
Di IPOH, pelantikan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar dimaklumkan Raja Dr Nazrin Shah yang menerima menghadap rombongan pemimpin ketiga-tiga parti itu di Istana Kinta pada jam 5 petang semalam.
Baginda juga berkenan dengan pelantikan Ngeh sebagai Timbalan Menteri Besar 1 dan Timbalan Menteri Besar 2 yang akan diisi wakil PKR yang akan dinamakan kemudian.
Mohammad Nizar dijadual mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar pada jam 4 petang ini.
Pada sidang media yang turut dihadiri Ngeh serta Pengerusi PKR Perak, Zulkifly Ibrahim dan Setiausaha DAP Perak yang memenangi DUN Pantai Remis, Nga Kor Ming, Mohamad Nizar berkata:
“Saya berharap dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Raja Muda, saudara (media) memberi maklumat kepada rakyat supaya mereka faham tiada lagi rasa sangsi, tiada lagi rasa bimbang dengan kerajaan yang dipilih rakyat.
“Perubahan kepada kerajaan campuran ini adalah perubahan yang sempurna, perubahan yang licin dan perubahan yang tidak memberi apa-apa tekanan kepada masyarakat.”
Beliau berkata, kerajaan campuran Barisan Alternatif (BA) dan DAP akan melaksanakan dasar memberi kebaikan kepada rakyat kerana keputusan yang hendak dibuat kerajaan adalah keputusan bersama.
“Kita mengambil kira rakyat berbilang kaum, iaitu Cina dan India dengan jawatan Timbalan Menteri Besar 1 dan Timbalan Menteri Besar 2 dari kaum Cina dan India.
“Kita ingin memberitahu rakyat Perak supaya mereka tidak berasa risau dan tidak rasa bimbang kerana ini adalah kerajaan rakyat yang merangkumi dan mewakili semua kaum terbesar di negeri ini,” katanya.
Mohammad Nizar berkata, senarai nama Timbalan Menteri Besar 2 dan barisan Exco negeri akan diumumkan selepas majlis angkat sumpah, petang ini.
Adun kawasan Hutan Melintang, S Kesavan – satu-satunya wakil India daripada PKR yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-12, Sabtu lalu, dijangka dinamakan sebagai Timbalan Menteri Besar 2.
Sementara itu, Ngeh berkata, beliau akan berbincang dengan Mohammad Nizar dan wakil rakyat lain mengenai pelantikan Exco kerana jawatan berkenaan membabitkan banyak portfolio.
“Menteri Besar akan menamakan barisan Exco dan portfolio lain yang juga akan disandang kedua-dua Timbalan Menteri Besar,” katanya.
Mengenai pelantikan wakil Pas sebagai Menteri Besar, sedangkan parti itu hanya memenangi enam kerusi DUN, Ngeh berkata perkara itu diperkenankan Raja Dr Nazrin Shah untuk melicinkan sistem penyampaian kerajaan negeri kerana kebanyakan kakitangan awam dari keturunan Melayu.
Katanya, Menteri Besar dari keturunan Melayu akan mendorong kakitangan awam berkenaan bertugas dengan sepenuh hati.