KUALA KANGSAR: Majlis mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak ke-10 di Istana Iskandariah di sini petang semalam, ditangguhkan ekoran bantahan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kecewa dengan langkah Pas menyerahkan lapan kerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) kepada DAP.
Berikutan itu, PKR meminta supaya DAP dan Pas membincangkan semula isu pembahagian kerusi Exco. Malah PKR mengancam tidak akan menyertai pentadbiran kerajaan campuran itu selagi masalah berkenaan tidak diselesaikan.
Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali, berkata parti itu sanggup bertindak tegas dan tidak menerima sebarang jawatan Exco dalam kerajaan Perak jika persetujuan Pas menyerahkan lapan kerusi Exco kepada DAP dan hanya dua kepada parti lain diteruskan.
“Kami menegaskan bahawa komposisi Exco sepatutnya mencerminkan pecahan bilangan penduduk dan mewakili kepentingan semua kaum dengan saksama. Semua parti mesti peka kepada harapan serta sentimen rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur semalam.
DAP, Pas dan PKR sebelum ini menyerahkan nama calon Menteri Besar daripada parti masing-masing kepada istana dan bersetuju akur serta menyokong sepenuhnya keputusan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dalam memilih calon Menteri Besar.
Kelmarin Sultan Azlan Shah memperkenankan pelantikan Setiausaha Badan Perhubungan Pas Perak, Mohamad Nizar Jamaluddin, 51, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Panjang sebagai Menteri Besar Perak ke-10.
Bagaimanapun selepas itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengeluarkan kenyataan meminta semua wakil rakyat parti itu memboikot majlis angkat sumpah kerana mendakwa Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP hanya memberi kelulusan bagi pembentukan sebuah kerajaan campuran pembangkang di Perak dengan diketuai DAP atau PKR.
Lim yang juga Pengerusi Suruhanjaya Perancangan Dasar dan Strategik DAP berkata, keputusan melantik Mohamad Nizar sebagai Menteri Besar mencetuskan kejutan dan kemarahan kepemimpinan, ahli serta penyokong parti.
Beliau bagaimanapun memohon maaf kepada Sultan Azlan Shah dan Pemangku Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah semalam berhubung kenyataan yang dilihat mempertikaikan keputusan baginda serta boleh mencemarkan nama baik Sultan Perak.
Sementara itu, majlis mengangkat sumpah Menteri Besar di Balai Istiadat Istana Iskandariah petang semalam dibatalkan kira-kira jam 4.10 petang apabila Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Raja Datuk Seri Mansor Raja Razman mengumumkan Sultan Azlan Shah menitahkan ia ditangguhkan ke satu tarikh yang belum ditetapkan.
Antara orang kenamaan yang hadir sejak jam 3.55 petang lagi ialah Raja Dihilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah dan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali.
Turut hadir ialah Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Muhamad Ideres Muhamad Rapee yang sepatutnya menjadi saksi majlis mengangkat sumpah itu.
Setiausaha Sulit kepada Sultan Perak, Kol Datuk Abd Rahim Mohamad Nor, berkata perkembangan terkini menunjukkan DAP, PKR dan Pas belum sepakat dalam hasrat menubuhkan kerajaan negeri yang stabil.
“Oleh itu, baginda Pemangku Raja menitahkan supaya majlis angkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak yang dijadualkan petang ini ditangguhkan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Sultan Perak, di sini semalam.
Selain Mohamad Nizar, Sultan Perak turut memperkenankan Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham, 47, yang juga Adun Sitiawan sebagai Timbalan Menteri Besar 1, manakala Adun Hutan Melintang, S Kesavan dari PKR sebagai Timbalan Menteri Besar 2 mewakili keturunan India.
Pagi semalam, Mohammad Nizar dan Kesavan menghadiri raptai latihan angkat sumpah di Istana Iskandariah, tetapi Ngeh atau wakil DAP tidak kelihatan.
Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming, berkata pihak istana menghubungi ketiga-tiga wakil daripada DAP, PKR dan Pas untuk menghadap Raja Nazrin jam 2.30 petang semalam yang berlangsung selama sejam.
Dalam majlis itu, katanya, Raja Nazrin Shah bertitah bahawa Sultan Perak mahu semua 31 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kerajaan campuran menandatangani surat menyatakan bersetuju Mohamad Nizar menjadi Menteri Besar.
“Semua 18 Adun DAP di Perak diminta berbuat demikian secepat mungkin dan ketiga-tiga parti yang bersetuju menubuhkan kerajaan campuran dan pelantikan Mohammad Nizar, akan mematuhi arahan Sultan Perak,” katanya ketika ditemui di sini.