|


PM terima senarai calon barisan Kabinet
Oleh Shamshul Azree Samshir, Abdul Razak Raaff dan Haika Khazi

PUTRAJAYA: Beberapa pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) termasuk dari Sabah dan Sarawak, menemui Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Pejabat Perdana Menteri di sini semalam, bagi menyerahkan senarai calon untuk dipertimbangkan menganggotai barisan Kabinet baru.

Mereka termasuk Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr George Chan; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee dan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan.

Turut dilihat memasuki Bangunan Perdana Putra ialah Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting; Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu dan Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Mereka mula memasuki Bangunan Perdana Putra seawal jam 8.30 pagi untuk bertemu Abdullah dalam sesi berasingan yang turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri meluangkan masa lebih tiga jam menemui pemimpin parti komponen BN itu bagi mendengar pandangan mereka sebelum keluar kira-kira jam 1.50 petang. Kabinet baru yang besar kemungkinan dikurangkan daripada 32 anggota sebelum ini dijangka diumumkan Isnin ini.

Wujud spekulasi bahawa parti komponen BN dari Sabah dan Sarawak yang memenangi semua kecuali satu kerusi Parlimen di negeri masing-masing, memohon pertimbangan Perdana Menteri untuk mendapatkan lebih banyak wakil dalam Kabinet.

BN Sabah memenangi 24 daripada 25 kerusi Parlimen manakala BN Sarawak memenangi 30 daripada 31 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Musa, ketika ditemui wartawan berkata, beliau sudah bertemu Abdullah dan Najib untuk menyampaikan senarai calon Sabah dan menyerahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri untuk membuat keputusan.

Ditanya mengenai calon jemaah menteri Pusat yang dicadangkan BN Sabah, beliau berkata: "Terpulang kepada budi bicara Perdana Menteri."

BN Sabah sebelum ini mempunyai tiga wakil dalam Kabinet, iaitu Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), Tan Sri Bernard Dompok; Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr Maximus Ongkili, sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dan Ketua Umno Bahagian Semporna, Datuk Mohd Shafie Apdal sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Sementara itu, Chan berkata, beliau menyampaikan hasrat SUPP yang inginkan lebih ramai pemimpin parti itu diberi peluang menganggotai Kabinet baru dan Perdana Menteri memaklumkan kepadanya hasrat mengurangkan bilangan anggota Kabinet yang akan dibentuk.

“Kita memang sudah ada tiga pemimpin dalam pentadbiran sekarang, kita minta lima lagi. Surat sudah diberi kepada Perdana Menteri dan kami berharap beliau dapat menimbangkannya,” katanya.

Sebelum ini, tiga Ahli Parlimen SUPP diberi tempat dalam pentadbiran Abdullah, iaitu Datuk Peter Chin sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi; Datuk Robert Lau (Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan); dan Datuk Yong Khoon Seng (Setiausaha Parlimen Kementerian Kerjaraya).

Pairin yang meninggalkan Pejabat Perdana Menteri kira-kira jam 12.25 tengah hari semalam berkata, PBS menyerahkan tiga nama calon untuk dipertimbangkan dalam barisan Kabinet baru.

“Kita hanya ada tiga (nama) dan kita sudah sampaikan pandangan... terpulang kepada Perdana Menteri,” katanya sambil menambah Abdullah hanya tersenyum apabila menerima senarai calon PBS daripada beliau.

Yong ketika ditemui di luar pintu utama Bangunan Perdana Putra, pula berkata beliau menyerahkan dua nama calon SAPP untuk dipertimbangkan Perdana Menteri.

Sementara itu, Ong berkata beliau sudah mengemukakan pandangan parti itu berhubung calon yang dicadangkan mengisi kuota MCA dalam Kabinet.

“Saya sudah kemukakan pandangan MCA dan Perdana Menteri akan membuat keputusan," katanya yang sebelum ini mengumumkan hasrat untuk menolak pelantikan sebagai menteri.

Selain pemimpin parti komponen, Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz turut menemui Abdullah semalam, dipercayai bagi menyerahkan senarai calon Wanita untuk dipertimbangkan mengisi barisan Kabinet baru.

Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Dr Rais Yatim, juga dilihat meninggalkan Bangunan Perdana Putra kira-kira jam 10.25 pagi, disusuli Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, lima minit kemudian.

Artikel lain: