|


Tiga parti bincang semula Exco Perak
Oleh Ridzuan Yop dan Mohd Feroz Abu Bakar

IPOH: Semua 31 ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak daripada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas memeterai surat persetujuan menubuhkan kerajaan campuran dan aku janji menyokong pelantikan Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar, kelmarin.

Pengerusi PKR Perak, Zulkifly Ibrahim, berkata tiga parti berkenaan sudah menyelesaikan isu pertelingkahan berhubung kuota pembahagian Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), dalam mesyuarat yang diadakan antara mereka.

“Surat persetujuan dan aku janji berkenaan sudah diserahkan kepada Setiausaha Sulit Sultan Perak, Kol Datuk Abdul Rahim Mohamad Nor kira-kira jam 10 malam kelmarin.

“Kami belum mencapai penyelesaian mengenai pembahagian kerusi Exco, sebaliknya hanya bersetuju supaya ia dibincangkan semula. Semua parti bersetuju membincangkan perkara itu selepas Mohammad Nizar mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar.

“Kita hanya bersetuju dari segi pembahagian semula.... belum ada penyelesaian dari segi jumlah yang akan diberi,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Bagaimanapun Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali dalam kenyataan menerusi laman web parti itu semalam berkata, persetujuan sudah dicapai antara ketiga-tiga parti yang akan membentuk kerajaan campuran berhubung pengagihan Exco.

“Hasil muafakat itu ialah Mohammmad Nizar dari Pas akan menjadi Menteri Besar, Ngeh Koo Ham dari DAP akan menjadi Timbalan Menteri Besar Pertama dan jawatan Timbalan Menteri Besar Kedua akan diperuntukkan kepada PKR.

“Untuk kerusi Exco pula, enam kerusi akan diperuntukkan untuk DAP, tiga untuk PKR dan satu bagi Pas. Selain itu, satu daripada dua senator yang akan dilantik Perak ke Dewan Negara dipilih oleh PKR,” katanya.

Majlis angkat sumpah jawatan Menteri Besar oleh Mohammad Nizar – Adun Pasir Panjang daripada Pas yang dijadual berlangsung di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar kelmarin, ditangguhkan atas titah perintah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Abdul Rahim semalam dilaporkan berkata, keputusan penangguhan itu dibuat selepas Sultan Perak mendapati perkembangan terkini menunjukkan DAP, PKR dan Pas belum sepakat menubuhkan kerajaan negeri yang stabil.

Berikutan itu, Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah semalam menitahkan semua 31 Adun kerajaan campuran menandatangani surat persetujuan menubuhkan kerajaan dan akujanji menyokong pelantikan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar.

Setakat ini, pihak istana belum menyatakan tarikh baru istiadat mengangkat sumpah tetapi menurut sumber rapat, Isnin.

Rabu lalu, Mohammad Nizar dilaporkan berkata, Raja Nazrin memaklumkan Sultan Perak memperkenankan permohonan DAP, PKR dan Pas untuk membentuk kerajaan campuran di negeri itu dan pelantikannya sebagai Menteri Besar.

Artikel lain: