KUALA TERENGGANU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Idris Jusoh bersedia menghadapi sebarang kemungkinan serta menerima qada dan qadar sama ada akan dilantik semula sebagai Menteri Besar atau sebaliknya.
"Saya sentiasa bersedia (menghadapi kemungkinan tidak dilantik semula sebagai Menteri Besar). Saya percaya kepada Allah, saya percaya pada qada dan qadar dan apa jua keputusan saya terima dengan rela hati,” katanya.
Sebagai pemimpin, katanya, beliau bersyukur kerana BN kembali memerintah Terengganu selepas menang majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Umum Ke-12 8 Mac lalu dan sedia menerima keputusan berhubung kedudukannya dengan rela hati.
"Sebagai seorang ahli parti, saya cukup bersyukur kerana BN memenangi Terengganu. Walaupun berlaku tsunami politik di tempat lain, Terengganu bukan hanya menang tapi dengan majoriti lebih dua pertiga," katanya selepas melawat pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) negeri, Che Fatin Humaira Che Yusoff yang memperoleh 13 1A, di sini semalam.
Majlis mengangkat sumpah jawatan Idris sebagai Menteri Besar yang dijadual 10 Mac lalu ditangguhkan pada saat akhir sehingga menimbulkan spekulasi pelantikannya untuk penggal kedua tidak mendapat perkenan istana.
Seramai 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada BN Terengganu pagi semalam dilaporkan dipanggil oleh Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) di sebuah hotel Putrajaya, tetapi majlis itu dibatalkan pada saat akhir.
Idris yang kelihatan tenang dan ceria ketika bertemu media berkata, beliau bersyukur dan gembira dengan kemenangan BN serta tidak ada sebab untuknya bersedih.
"Saya masih ketua kerajaan negeri dan Menteri Besar sehingga pasukan (Menteri Besar dan Exco) baru dilantik. Walaupun saya tidak pergi ke pejabat, saya lebih `rileks' sekarang. 'I'm a happy man'...Jika berlaku apa, saya dah kembalikan BN kepada Terengganu,” katanya.
Di PUTRAJAYA: Lebih 23 Adun BN Terengganu menemui Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Pejabat Perdana Menteri dipercayai bagi menyatakan sokongan supaya Idris dikekalkan sebagai Menteri Besar.
Kumpulan wakil rakyat itu, yang dijadualkan menghadiri majlis pertemuan dengan MPPR tetapi dibatalkan, menaiki 12 kereta memasuki Bangunan Perdana Putra kira-kira jam 1.50 petang sebelum meninggalkan kompleks itu pada jam 4 petang.
Berita Minggu difahamkan, Perdana Menteri meminta semua Adun terbabit bersabar dan yakin bahawa isu berkenaan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.
Antara yang hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Datuk Rosol Wahid; Datuk Din Adam (Bukit Besi); Datuk Mohd Awang Tera (Cukai); Datuk Za'aba Md Adib (Rantau Panjang); Alias Abdullah (Alur Limbat) dan Datuk Abdul Rahin Mohd Said (Teluk Pasu).
Datuk Muhammad Ramli Nuh (Tepuh); Toh Chin Yaw (Bandar); Dr Abdul Rahman Mokhtar (Kuala Besut); Zawawi Mohd Ismail (Kuala Berang); Halim Jusoh (Permaisuri); Yahaya Khatib Mohamad (Pengkalan Berangan) dan Rozi Mamat (Telemong).
Asha'ari Idris (Langkap); Ramlan Ali (Jabi); Ahmad Razif Abd Rahman (Seberang Takir); Rosli Othman (Kemasik); Nawi Mohamad (Hulu Besut); Khazam Che Mat (Batu Rakit); Zakaria@Ariffin Abdullah (Paka) dan Mohd Pohimi Yusof (Kota Putera).
Rosol yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno Terengganu, ketika dihubungi Berita Harian berkata mereka pergi ke Pejabat Perdana Menteri untuk bertemu Abdullah.
"Perdana Menteri tahu apa yang sedang berlaku di Terengganu. Perdana Menteri minta kami bertenang dan menyatakan apa yang berlaku ada hikmahnya," katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai pertemuan itu.