|


PM jumpa Raja Perlis isu Isa, Shahidan

PUTRAJAYA: Sembilan wakil rakyat Perlis yang menemui Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam, mendapat jaminan Perdana Menteri bahawa kemelut berhubung pelantikan Menteri Besar Perlis, akan diselesaikan secepat mungkin.

Ahli Dewan Undangan Negeri Beseri, Mat Rawi Kassim, berkata Perdana Menteri berjanji akan mengadakan perbincangan dengan Istana Perlis berhubung perkara itu serta meminta mereka pulang dan melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat seperti biasa.

“Saya jumpa Perdana Menteri dan tiada keputusan (siapa Menteri Besar). Pak Lah minta kami balik dan buat kerja seperti biasa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Abdullah di Pejabat Perdana Menteri di sini, semalam.

Kelmarin, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail berkenan melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bintong, Datuk Dr Md Isa Sabu sebagai Menteri Besar walaupun Datuk Seri Shahidan Kassim sudah menerima watikah daripada Perdana Menteri untuk menduduki jawatan itu.

Selain Mat Rawi, lapan lagi wakil rakyat BN yang menemui Perdana Menteri ialah Yip Sun Onn (DUN Titi Tinggi), Sabry Ahmad (DUN Santan), Abdul Jamil Saad (DUN Sena), Dr Por Choo Chor (DUN Indera Kayangan), Mat Hassan (DUN Kuala Perlis), Ahmad Bakri Ali (DUN Kayang), Datuk Seri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail (DUN Pauh) dan Md Isa sendiri.

Mat Rawi berkata, terpulang kepada Perdana Menteri bila keputusan berhubung pelantikan Menteri Besar negeri itu akan diketahui.

Beliau berkata, kumpulan sembilan wakil rakyat itu juga tidak berhasrat untuk mengadakan sebarang perbincangan dengan Shahidan berhubung perkara itu.

Mat Rawi juga menjelaskan, percaturan berhubung pelantikan Menteri Besar Perlis tidak membabitkan Setiausaha Agung Umno dan Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad yang juga Ketua Umno Bahagian Kangar.

“Datuk Seri Radzi tak ada kena mengena, tak terbabit. Kami wakil rakyat, kami mewakili rakyat yang mahukan perubahan di Perlis,” katanya.

Di SUBANG: Radzi berkata, pelantikan Dr Md Isa tidak ada kaitan dengan campur tangan Raja Perlis, sebaliknya baginda memberi perkenan mengikut Perlembagaan Negeri yang sah.

Malah, katanya, tidak benar jika ada dakwaan bahawa tindakan baginda itu menyalahgunakan kuasa kerana ia mematuhi peruntukan mengikut Artikel 39 (2) Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis yang memberi kuasa kepada Raja melantik seorang yang mendapat kepercayaan ramai ahli, mengetuai majlis kerajaan negeri.

“Saya sedih dengan apa yang berlaku dan dalam tekanan hebat serta kekalahan BN pada pilihan raya lalu, saya berdoa isu ini dapat diselesaikan dengan baik.

“Saya juga tidak mahu ada yang tersalah anggap terhadap Tuanku Raja Perlis kerana seharusnya kita perlu menghormati institusi diraja seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan, prinsip Rukun Negara dan juga Islam Hadhari,” katanya.

Di KANGAR, Syed Razlan mengesahkan pelantikan Md Isa mendapat sokongan penuh dua pertiga daripada barisan Adun Perlis yang baru dilantik selepas pilihan raya umum, Sabtu lalu.

Selain lapan wakil rakyat yang bersama Adun Bintong ketika menghadap Raja Perlis, Md Isa juga memperoleh sokongan wakil tunggal pembangkang di negeri berkenaan iaitu Rus’sele Eizan (DUN Simpang Empat).

Baki lima Adun dikatakan tidak menyuarakan pendirian, termasuk sama ada untuk kekal menyokong Shahidan bagi terus memimpin negeri itu atau sebaliknya.

Mereka ialah Khairi Hassan (DUN Mata Ayer), Mansor Jusoh (DUN Chuping), Jafperi Othman (DUN Guar Sanji), Abdullah Hassan (DUN Sanglang) dan Shahidan sendiri selaku Adun Tambun Tulang.

Syed Radzlan berkata, sembilan Adun termasuk Md Isa sendiri, yang masuk menghadap Tuanku Raja Perlis di Istana Siraj, tengah hari Jumaat lalu, menyatakan sokongan penuh kepada keputusan baginda.

"Kami tidak setuju jika ada pihak yang menuduh baginda memilih 'orang sendiri' (Md Isa) untuk dilantik sebagai Menteri Besar kerana itu jelas sekali tidak benar.

"Kami sembilan Adun bersetuju dengan keputusan baginda kerana bagi kami apa yang diputuskan baginda adalah berlandaskan peruntukan perlembagaan negeri," katanya.

Sementara itu, Rus'sele ketika dihubungi mengaku menyokong penuh pelantikan Md Isa sebagai Menteri Besar Perlis, untuk menggantikan Shahidan.

"Walaupun sebagai parti pembangkang, kami tetap menyokong penuh keputusan Tuanku Raja Perlis kerana bagi kami, ini adalah masa paling sesuai untuk menukar kepimpinan sedia ada," katanya.

Pengumuman pelantikan Md Isa menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan rakyat Perlis. Di sekitar negeri itu, beratus-ratus kain rentang terpampang yang menyatakan sokongan kepada Md Isa dan Raja Perlis sebagai pemerintah negeri.

Polis mengadakan sekatan jalan raya di beberapa lokasi sebagai langkah berjaga-jaga, termasuk di jalan utama menghala Istana Diraja Arau, Istana Fauzana yang juga Istana Raja Perlis di Padang Katong, Pejabat DUN yang juga dikenali sebagai Mini Putrajaya serta rumah Md Isa di Taman Guru Jaya, di sini.

Artikel lain: