|


Kabinet lebih kecil elak pertindihan bidang kuasa

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijadual mengumumkan Kabinet baru dijangka lebih kecil menjelang Selasa ini, dengan dibarisi ramai muka baru yang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac lalu.

Petunjuk awal membayangkan barisan Kabinet itu mungkin mengandungi antara 26 dan 28 kementerian berbanding 31 sebelum ini, kerana sesetengahnya akan digabungkan bagi mengelak pertindihan bidang kuasa.

Sejak beberapa hari lalu, Perdana Menteri mengadakan beberapa mesyuarat dengan ketua parti komponen Barisan Nasional (BN) berhubung pelantikan anggota Kabinet sebelum beliau membuat keputusan, yang diyakini dapat memenuhi konsep perkongsian kuasa BN.

Pengumuman Perdana Menteri sebelum ini bahawa menteri yang tewas pada pilihan raya umum lalu tidak akan dilantik semula, memberikan gambaran mungkin tiada pelantikan sebagai senator untuk kemasukan dalam Kabinet.

Sumber memberitahu Bernama, beberapa timbalan menteri dalam Kabinet lama akan dilantik sebagai menteri penuh dengan MCA mungkin mempunyai empat muka baru manakala MIC menampilkan seorang menteri baru buat pertama kali sejak 1979.

“Menteri MIC itu akan menjadi satu-satunya wakil kaum India dalam Kabinet,” kata seorang sumber yang membayangkan Setiausaha Agung MIC, yang juga Ahli Parlimen Segamat, Datuk Dr S Subramanian mungkin diberikan jawatan berkenaan.

MIC juga mungkin diberikan jawatan dua timbalan menteri dan setiausaha parlimen tetapi ada pihak tidak menolak parti itu mungkin diberi satu lagi jawatan timbalan menteri yang akan diisi Ahli Parlimen Tapah, Datuk K Saravanan.

Antara dijangka dilantik menteri penuh ialah bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah; Timbalan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Menteri Kerjaraya, Datuk Mohd Zin Mohamad dan Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor. Sumber memberitahu, Shaziman dijangka mengetuai Kementerian Penerangan, yang mungkin memperlihatkan komponen komunikasi dikeluarkan daripada Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi bagi menyelaraskan portfolio penerangan dan komunikasi di bawah satu payung.

MCA dipercayai mengemukakan empat nama untuk jawatan menteri, membabitkan Setiausaha Agung parti, Datuk Ong Ka Chuan; Naib Presiden, Datuk Ong Tee Keat; Ketua Pemuda, Datuk Liow Tiong Lai dan Ketua Wanita, Datuk Dr Ng Yen Yen.

Ong dijangka mengambil alih jawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan daripada Presiden MCA yang juga adiknya, Datuk Seri Ong Ka Ting, sementara lainnya mungkin memegang portfolio tradisi MCA.

Difahamkan, portfolio Pengangkutan dijangka diberikan kepada Tee Keat; Sumber Manusia kepada Liow manakala Kesihatan kepada Dr Ng yang mungkin menjadi wanita pertama daripada MCA diberi menjadi menteri.

“Kita mungkin hanya mendapat empat jawatan menteri dan lima timbalan menteri kerana parti sudah memutuskan tidak akan mengambil jawatan setiausaha parlimen dan memilih sedikit jawatan timbalan menteri,” kata sumber MCA.

Sebelum pilihan raya, MCA diperuntukkan empat jawatan menteri, lapan timbalan menteri, empat setiausaha parlimen dan seorang timbalan speaker Dewan Rakyat di bawah susunan 4:8:4 + 1.

Gerakan yang hanya mampu mengekalkan dua kerusi Parlimen, mungkin kehilangan tempat dalam Kabinet kerana Pemangku Presidennya, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon menyatakan parti itu tidak akan meminta sebarang jawatan menteri.

Komponen BN dari Sabah dan Sarawak, yang mencatat pencapaian cemerlang pada pilihan raya umum dengan masing-masing menang 24 daripada 25 kerusi dan 30 dari 31 kerusi ditandingi, mungkin menyaksikan perwakilan besar dalam Kabinet baru.

Sumber memberitahu, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) meminta dua lagi jawatan menteri berbanding satu sebelum ini, tetapi Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dijangka kekal dengan satu perwakilan masing-masing.

PBB memenangi semua 14 kerusi yang ditandingi, SUPP (enam daripada tujuh kerusi) sementara PRS dan SPDP masing-masing mengekalkan semua enam kerusi dan empat kerusi yang mereka tandingi dalam pilihan raya lalu.

Katanya, PBB akan sekurang-kurangnya mendapat dua jawatan menteri dan sama ada PRS atau SPDP akan memperoleh satu lagi jawatan menteri untuk mencerminkan dengan lebih baik perwakilan masyarakat Dayak dalam Kabinet.

SPDP dipercayai mencadangkan Dr Tiki Lafe (Mas Gading), Datuk Jacob Dungau Sagan (Baram), Datuk Seri Tiong King Sing (Bintulu) dan Jelaing Mersat (Saratok) serta Senator Paul Chek Nyuk untuk jawatan Kabinet.

Masyarakat Orang Ulu melobi agar Jacob, Ahli Parlimen Baram selama empat penggal, dipertimbangkan bagi jawatan menteri memandangkan beliau akan menyelaras pembangunan dalam kawasan pilihan raya luar bandar itu.

Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) dikatakan meminta jawatan tambahan menteri selepas memenangi kebanyakan kerusi. PBS menang dua kerusi Parlimen manakala Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Bersatu (UPKO) dan SAPP masing-masing tiga dan dua.

Parti komponen lain seperti Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP) juga masing-masing memenangi satu-satunya kerusi Parlimen di Pensiangan dan Sandakan.

Antara yang menang ialah Timbalan Presiden PBS, Datuk Dr Maximus Ongkili; Presiden UPKO, Tan Sri Bernard Dompok (Penampang); Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup (Pensiangan) dan Presiden LDP, Datuk VK Liew (Sandakan).

Sebelum ini, Sabah mempunyai tiga jawatan menteri, masing-masing satu bagi Umno, PBS dan UPKO. Komposisi ini mungkin dikekalkan dengan beberapa jawatan timbalan menteri baru dijangka diberikan kepada parti komponen BN Sabah. - Bernama

FAKTA NOMBOR
Kementerian


31 - Sebelum ini
28 - Dijangka

Artikel lain: