|


Kit Siang menghadap Raja Nazrin
Oleh Magendran Rajagopal

KUALA LUMPUR: Penasihat DAP, Lim Kit Siang, semalam menghadap Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah, bagi memohon maaf secara peribadi berhubung keterlanjurannya mengarahkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP memulaukan istiadat angkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak yang baru, Khamis lalu.

Lim, dalam kenyataan menerusi laman blognya berkata, Raja Dr Nazrin Shah berkenan menerima beliau menghadap sejurus selepas majlis pelantikan dan istiadat angkat sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Panjang, Mohammad Nizar Jamaluddin, sebagai Menteri Besar di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, kira-kira jam 11.30 pagi semalam.

“Saya secara peribadi meminta maaf atas segala kesalahan dan kesilapan terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Pemangku Raja Perak.

“Sabtu lalu, saya mengutus surat rasmi memohon maaf dan hari ini (semalam) saya menemui Pemangku Raja Perak berhubung keterlanjuran tempoh hari,” katanya.

Mohammad Nizar, yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Pas Perak, sebelum ini dijadual mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar pada Khamis lalu, tetapi beberapa jam sebelum majlis itu diadakan, Lim mengarahkan semua 18 wakil rakyat DAP di Perak tidak menghadiri istiadat berkenaan.

Arahan itu dikeluarkan bagi membantah keputusan Sultan Perak memilih Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak ke-10.

Lim, yang juga Pengerusi Suruhanjaya Perancangan Dasar dan Strategik DAP, dalam kenyataan sejurus selepas pengumuman pelantikan Mohammad Nizar, Khamis lalu, berkata keputusan itu mencetuskan kejutan dan kemarahan pimpinan, ahli serta penyokong DAP.

Lim menegaskan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP hanya memberi kelulusan bagi pembentukan sebuah kerajaan campuran di Perak dengan diketuai DAP atau Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bagaimanapun, surat permohonan ketiga-tiga parti berhubung perkara itu yang diedarkan Istana Kinta selepas mendapat perkenan Sultan Perak, menjelaskan bahawa pemilihan Sultan Azlan Shah dibuat berdasarkan keputusan DAP, PKR dan Pas sendiri yang mencalonkan tiga nama.

Surat bertarikh 11 Mac itu ditandatangani oleh Pengerusi DAP Perak merangkap Adun Sitiawan, Ngeh Koo Ham, Pesuruhjaya Pas Perak, Ahmad Awang dan Pengerusi PKR Perak, Zulkifly Ibrahim.

Surat berkenaan memaklumkan kepada Sultan Perak mengenai persetujuan sebulat suara ketiga-tiga parti menubuhkan kerajaan campuran serta memohon perkenan baginda untuk melantik salah seorang daripada tiga calon yang disenaraikan.

Berikutan itu, pelbagai pihak dari seluruh negara, terutama rakyat Perak, mendesak Lim menarik balik kenyataannya dan memohon maaf kerana menghina institusi kesultanan Perak.

Ahad lalu, kira-kira 1,000 orang berhimpun secara aman bagi membantah tindakan Penasihat DAP itu di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz atau lebih dikenali Padang Polo.

Satu lagi kumpulan menghantar memorandum bantahan terhadap kenyataan Lim kepada Raja Di Hilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa di Istana Kinta pada hari yang sama.

Kumpulan kira-kira 500 orang itu kemudian berkumpul di Padang Ipoh untuk membantah tindakan Lim dan menggesanya meminta maaf secara terbuka.

Artikel lain: