|


Dua muka baru jaga kehakiman, ekonomi

PUTRAJAYA: Peguam terkemuka, Datuk Mohd Zaid Ibrahim dan tokoh perbankan, Datuk Amirsham A Aziz yang dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), masing-masing akan bertanggungjawab melakukan perubahan terhadap badan kehakiman dan perancangan ekonomi negara.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Amirsham dan Mohd Zaid yang dilantik Ahli Dewan Negara, diberi portfolio berbeza sebagai Menteri di JPM.

"Berkaitan dengan muka baru (merujuk kepada Amirsham dan Mohd Zaid), ingin saya beri penerangan lanjut sebab apa mereka dilantik untuk berkhidmat di JPM. Mohd Zaid akan diberi tugas yang ada hubung kait dengan perundangan dan berperanan untuk membantu membuat cadangan bagi perubahan badan kehakiman.

"Amirsham pula akan mengetuai Unit Perancang Ekonomi (EPU) yang dulunya diisi Datuk Seri Mohd Effendi Norwawi," katanya pada sidang akhbar mengumumkan barisan Kabinet baru di sini, semalam. Turut hadir pada sidang media itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Amirsham, 58, yang juga Presiden dan Ketua Eksekutif Maybank, memulakan karier di Malayan Banking Berhad pada 1977 hinggalah menduduki jawatan tertinggi syarikat perbankan itu.

Mohd Zaid pula adalah tokoh perundangan yang memiliki firma sendiri, Zaid Ibrahim & Co, ditubuhkan kira-kira 20 tahun lalu dengan memiliki 130 peguam dan pejabat cawangan di seluruh negara, Singapura, Indonesia dan Thailand.

Perdana Menteri berkata, tidak timbul soal sama ada Amirsham atau Mohd Zaid bertanding atau tidak bertanding pada pilihan raya umum ke-12 lalu kerana kedua-duanya dilantik sebagai Ahli Dewan Negara.

Pada sidang media selama 20 minit itu, Abdullah juga menjelaskan keputusannya melantik individu yang tidak bertanding dalam pilihan raya umum lalu, seperti Datuk Dr Marshitah Ibrahim.

"Sebab mengapa bukan Ahli Parlimen atau tidak mengambil bahagian dalam pilihan raya dulu... saya perlu mereka untuk berkhidmat dan saya percaya mereka boleh memberi khidmat diharapkan.

"Seperti Dr Marshitah, saya percaya dalam bidang agama dia ada kebolehan dan dia mewakili wanita. Jadi saya ambil dia untuk ambil bahagian dalam isu ini," katanya.

Mengenai penggabungan semula Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), beliau menjelaskan:

"Dulu saya bahagikan dua KKDN dan KHEDN. Selepas empat tahun pengalaman, saya dapati banyak perkara yang bertindih yang perlu diatasi yang memerlukan kedua-dua menteri atau ketua setiausaha berbincang.”

Ditanya sama ada beliau menerima tekanan sehingga hanya mengumumkan barisan Kabinet baru selepas 10 hari, Perdana Menteri berkata: "Tidak, saya tidak menerima sebarang tekanan, saya putuskannya sendiri."

Perdana Menteri yakin anggota pentadbiran barunya akan menunjukkan prestasi lebih baik daripada sebelum ini dan mampu memenuhi agenda kerajaan. Mereka akan memperhebat pelaksanaan segala projek pembangunan yang dirancang dan diumumkan.

"Dalam penggal ini, kita akan dibuat pelaksanaan hebat semua dasar dan projek... saya baca banyak artikel dan ulasan bahawa Pak Lah sudah mengadakan dasar dengan baik tetapi pelaksanaan projek masih kurang," katanya.

Beliau juga berkata, Kabinet baru itu mencerminkan semangat perkongsian kuasa dan muafakat BN serta mampu melaksanakan agenda kerajaan dengan baik dan berkesan.

"Saya mengambil keputusan tidak melantik Setiausaha Parlimen. Ini bermakna menteri dan timbalan menteri perlu lebih aktif di Parlimen. Lebih daripada separuh terdiri dari muka baru dan saya yakin mereka akan mewakili rakyat dengan efektif dan membawa nafas baru kepada pentadbiran negara," katanya.

Artikel lain: