|


Najib bersih rasuah: PM
Oleh Wan Hazmir Bakar, Shamsul Azree Shamshir dan Abdul Razak Raaff

Abdullah dapat maklumat terkini BPR mengenai semua calon

PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, Datuk Seri Najib Razak tidak terbabit dalam sebarang gejala rasuah seperti yang dituduh pembangkang serta menjelaskan hubungannya dengan pemimpin kedua tertinggi itu amat baik.

Perdana Menteri berkata, tiada sebarang bukti yang boleh mengaitkan Najib dengan sebarang amalan rasuah seperti yang sering didakwa pembangkang, termasuk oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tiada bukti... tiada apa-apa yang menunjukkan atau membuktikan Najib terbabit dalam apa juga tindakan membabitkan rasuah.

“Orang nak tuduh, macam-macam boleh tuduh, anda pun tahu, malah beliau (Anwar) tidak bebas daripada tuduhan. Apa yang penting adalah tiada bukti... orang boleh cakap mengenai enam, tujuh, 20 kotak bukti (sedangkan) kenyataannya adalah tiada bukti.

“Saya pastikan saya mendapat maklumat terkini daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan polis mengenai semua calon (menteri dan timbalan menteri) yang saya ada,” katanya pada sidang media khas bagi mengumumkan barisan Kabinet baru, di Bangunan Putra Perdana, di sini, semalam.

Abdullah ditanya kenapa beliau mengekalkan Najib dalam pentadbirannya yang dijamin bersih daripada rasuah kerana timbalannya itu ialah antara mereka yang sering dituduh pembangkang terbabit dengan gejala itu.

Diminta mengulas hubungannya dengan Najib, Abdullah berkata: “Hubungan saya dengan Najib amat baik. Kenapa anda bertanyakan soalan ini? Orang boleh buat macam-macam tuduhan terhadap orang lain mengenai banyak perkara, anda terlalu berprasangka.”

Ditanya mengapa Najib tidak mengiringi beliau pada sidang media itu, Perdana Menteri menjelaskan Najib hanya akan menjadi Timbalan Perdana Menteri selepas mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, hari ini.

Menjawab soalan, Abdullah yang juga Presiden Umno mengulangi kenyataannya bahawa beliau diberi mandat oleh rakyat untuk membentuk kerajaan, walaupun BN menang dengan majoriti mudah pada pilihan raya umum baru lalu.

“Sepanjang pengetahuan saya, saya masih di sini. Saya diberi mandat sepenuhnya untuk membentuk kerajaan baru dan kita hanya kurang lapan kerusi untuk menang dengan majoriti dua pertiga. Saya bukannya orang yang akan mengelak daripada memikul mandat yang sudah diberi.

“Saya tidak akan tertekan. Mereka (pengundi) sudah memberikan undi mereka dan menjadi tanggungjawab saya untuk meneruskannya. Saya juga mempunyai sokongan padu daripada kepemimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Perdana Menteri turut mengesahkan bahawa Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah ada menghantar surat kepadanya supaya diadakan Perhimpunan Agung Khas Umno bagi membincangkan prestasi Umno dan BN pada pilihan raya umum lalu.

“Dia sudah hantar surat kepada pejabat Setiausaha Agung Umno. Ia akan menerusi prosedur biasa,” katanya sambil menambah Umno tidak bercadang mengadakan Perhimpunan Agung Khas berkenaan.

Sementara itu, Najib, pada sidang media di Pejabat Timbalan Perdana Menteri petang semalam, menyifatkan tuduhan pembangkang itu sebagai permainan politik yang jelas bertujuan menjatuhkan beliau.

Bagaimanapun, katanya, segala dakwaan itu tidak menjejaskan beliau dan hakikat ini terbukti apabila pengundi memberikan beliau kemenangan dengan majoriti lebih besar pada pilihan raya umum baru lalu.

“Orang ramai pada akar umbi menerima saya... anda perlu faham ini cuma permainan politik, ia asam garam politik,” katanya.

Najib yang juga Timbalan Presiden Umno turut menolak andaian cadangan Tengku Razaleigh supaya diadakan Perhimpunan Agung Khas Umno itu antara lain untuk mengemukakan usul tidak percaya terhadap kepemimpinan Abdullah.

“Ia tidak timbul sebab Majlis Tertinggi (MT) sudah beri sokongan kepada Presiden parti... sebaliknya, kita ada cadangan untuk mengukuhkan Umno dan memulihkan semangat ahli parti. Maka selepas penubuhan Kabinet ini kita akan beri tumpuan kepada pemulihan parti, termasuk semangat ahli parti,” katanya.

Najib turut menjelaskan beliau tidak mengiringi Abdullah pada sidang media khas bagi mengumumkan barisan Kabinet baru kerana dari segi teknikal beliau belum menjadi Timbalan Perdana Menteri sehingga mengangkat sumpah jawatan.

Artikel lain: