KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar yang menolak pelantikan sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan kelmarin menganggap 'rezekinya' dalam barisan pentadbiran kerajaan sampai setakat itu saja.
Tengku Azlan yang juga kerabat diraja Pahang berkata, pengundurannya daripada jawatan berkenaan dilakukan atas kehendak dirinya sendiri berikutan sudah tiga penggal menyandang portfolio sama di dua kementerian berbeza sejak 1999.
Beliau juga menolak tanggapan sesetengah pihak yang mengatakan penolakan jawatan itu adalah sebagai menandakan tanda protes dan kekecewaannya berikutan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak melantiknya sebagai menteri penuh.
“Tiada apa-apa sebenarnya.... apabila kita rasa kita perlu berundur kita perlu berundur. Saya tidak kecewa (tidak dilantik menteri penuh) kerana sebagai ahli politik, perasaan itu tidak harus timbul kerana rezeki sudah setakat itu saja.
“Bagaimanapun, saya akan terus memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dan aktif dalam Parlimen,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.
Kelmarin, akhbar melaporkan Tengku Azlan yang dilantik Timbalan Menteri Luar dan Datuk Anifah Aman, Timbalan Menteri Pengangkutan, menemui Perdana Menteri, bagi menyampaikan hasrat tidak menolak pelantikan itu kerana berpendapat mereka sepatutnya dilantik menteri penuh.
Tengku Azlan yang mula menjadi Ahli Parlimen selepas menang dalam pilihan raya 1999 sebelum ini ialah Timbalan Menteri Pengangkutan. Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Jerantut pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 1999 hingga 2004.
Ditanya mengenai barisan kabinet baru seperti diumumkan Abdullah, Tengku Azlan berkata, kuasa memilih adalah hak mutlak pemimpin nombor satu negara itu dan beliau berharap pemimpin yang dilantik terus memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.
Beliau berkata, tindakannya menolak pelantikan yang diumumkan Perdana Menteri dibuat tanpa syarat kerana baginya, selepas dua penggal menjadi timbalan menteri, pelantikannya bagi penggal ketiga dianggap tidak sesuai lagi dan jawatan itu seharusnya diberi kepada orang lain.
“Sudah dua penggal saya jadi timbalan menteri dan jika menerima pelantikan itu, ia untuk penggal ketiga. Saya fikir lebih baik beri laluan kepada orang lain untuk memegang jawatan itu itulah yang saya katakan ketika bertemu Perdana Menteri,” katanya.
Sementara itu, Anifah yang sebelum ini Timbalan Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi, mula menjadi Ahli Parlimen selepas menang pilihan raya umum 1999 sebelum dilantik timbalan menteri bagi portfolio sama yang ketika itu dikenali Kementerian Perusahaan Utama.
Kelmarin, Anifah memberitahu Bernama bahawa penolakan jawatan itu dilakukan bagi memberi laluan kepada pemimpin baru untuk memegang portfolio berkenaan.
Beliau ketika memberikan kenyataan kepada agensi berita itu berkata, “Saya sudah menjadi Timbalan Menteri untuk dua penggal dan saya rasa sudah tiba masanya bagi saya memberikan laluan kepada orang yang lebih muda memegang jawatan itu.
“Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana melantik saya tetapi saya telah memutuskan untuk tidak menerimanya,” katanya.